Izzren jadikan kritikan pembakar semangat

sukan@hmetro.com.my

Kajang: Tidak menghiraukan kata-kata mereka yang meragui pilihannya membuahkan hasil buat atlet angkat berat Perak, Qhaerul Izzren Syuhada Abdullah apabila menghadiahkan emas kedua negeri itu pada hari pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, hari ini.

Izzren, yang bakal berusia 18 tahun hujung tahun ini, muncul juara kategori bawah 53 kilogram (kg) wanita selepas melakukan angkatan 64kg dalam snatch dan 79kg dalam clean and jerk untuk jumlah keseluruhan 143kg.

Atlet tuan rumah, Syaza Ilyana Maizan meraih perak dengan jumlah 138kg (63kg, 75kg), manakala Nur Zafeerah Safia Zaini dari Terengganu melengkapkan podium dengan 136kg (60kg, 76kg).

Izzren yang tersenyum lebar di podium berkata pengalaman pada penampilan sulung di SUKMA Sarawak 2024 menjadi bekalan penting untuknya tampil lebih baik kali ini.

“Saya membuat penampilan sulung di SUKMA Sarawak 2024 tetapi tidak memenangi sebarang pingat kerana ketika itu saya lebih banyak menimba pengalaman.

“Sejak itu saya berlatih dengan sangat keras dan ia membuahkan hasil hari ini. Saya berharap dapat memecahkan rekod kebangsaan suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Izzren, dia bertekad untuk berjaya selain berharap lebih ramai wanita menceburi sukan angkat berat yang sering dikaitkan sebagai sukan lelaki.

“Sewaktu berusia 14 tahun, persatuan angkat berat datang membuat demonstrasi di sekolah saya dan saya sangat berminat.

“Pada mulanya ramai yang memberitahu saya supaya tidak menyertai sukan ini malah keluarga sendiri tidak percaya dengan pilihan saya.

“Tetapi saya tetap bertekad dan mula menyertai satu demi satu pertandingan sehingga hari ini.

“Saya berharap lebih ramai wanita menceburi sukan ini. Ia tidak berbahaya dan tidak akan merosakkan masa depan anda. Malah, sukan ini boleh membawa anda pergi jauh dalam kehidupan,” katanya.

Perak sebelum itu meraih emas dalam kategori bawah 48kg wanita menerusi Qistina Qharisya Muzani.

Acara lelaki bawah 65kg dan bawah 71kg serta wanita bawah 59kg pula akan berlangsung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top