LONDON: Seorang pemilik anjing ditahan kerana disyaki membunuh selepas haiwan peliharaannya dipercayai menyebabkan kematian seorang lelaki di laluan awam.
Lelaki berusia 55 tahun itu meninggal dunia selepas dilaporkan diserang oleh anjing yang tidak dapat dikawal di Wakefield, West Yorkshire, pada petang Sabtu.
Polis West Yorkshire berkata, kematian itu dipercayai berlaku susulan satu pergaduhan atau pertengkaran di kawasan Calder Grove, Wakefield, kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan.
Pihak berkuasa itu menerima laporan pada jam 1.36 petang waktu tempatan bahawa seorang lelaki telah digigit anjing tidak lama selepas berlaku pertengkaran di laluan pejalan kaki bekas landasan kereta api, berhampiran Blacker Lane.
Lelaki berusia 55 tahun itu dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal. Bagaimanapun, dia meninggal dunia tidak lama selepas jam 7 malam semalam.
Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan kerana disyaki membunuh dan memiliki anjing yang berbahaya dan tidak dapat dikawal di tempat awam sehingga menyebabkan kecederaan. Lelaki itu kini berada dalam tahanan polis.
Seekor anjing yang dipercayai merupakan haiwan yang terlibat dalam kejadian itu telah dirampas oleh polis. – AGENSI
