mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pembaharuan undang-undang pendidikan tinggi negara perlu memperkasakan suara, kepimpinan dan penyertaan mahasiswa dalam proses membuat keputusan.
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pihaknya berpandangan usaha membangunkan kerangka perundangan baharu sebagai pengganti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) penting untuk pendidikan tinggi negara terus relevan dengan keperluan semasa.
“AUKU telah mengalami lapan kali pindaan sejak diperkenalkan lebih lima dekad lalu.
“Meskipun pindaan berkenaan membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk berorganisasi, menyuarakan pandangan dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, masih terdapat kebimbangan bahawa kebebasan mahasiswa belum dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Amir Asyraf berkata, keadaan itu membuktikan pembaharuan secara menyeluruh wajar dipertimbangkan.
“Negara tidak seharusnya terikat dengan nama atau bentuk undang-undang terdahulu sekiranya kerangka baharu mampu mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan sesuai dengan realiti generasi mahasiswa hari ini.
“Pemansuhan AUKU tidak boleh dilihat sebagai matlamat akhir. Keberhasilan pembaharuan ini perlu dinilai berdasarkan kandungan dan pelaksanaannya, khususnya dalam memberikan jaminan yang lebih jelas terhadap autonomi universiti, kebebasan akademik, hak bersuara serta penyertaan mahasiswa dalam proses membuat keputusan,” katanya.
Menurutnya, universiti mesti menjadi tempat yang mendidik mahasiswa untuk berfikir secara kritis, berbeza pandangan dengan matang dan memimpin secara bertanggungjawab.
“Mahasiswa tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penerima dasar, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
“Proses merangka undang-undang baharu ini hendaklah melibatkan mahasiswa secara langsung dan bermakna.
“Pandangan kepimpinan pelajar, alumni gerakan mahasiswa, ahli akademik, pengurusan universiti, pakar perundangan, penggubal undang-undang serta masyarakat sivil perlu diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ruang kebebasan yang lebih luas perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab.
“Autonomi institusi dan hak mahasiswa hendaklah diperkukuh tanpa mengabaikan prinsip tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan akademik.
“Alumni MPPK berharap pembaharuan berkenaan menjadi titik permulaan kepada perubahan lebih besar dan bukan sekadar pertukaran nama atau penggantian sebuah akta.
“Kerangka baharu yang bakal diwujudkan mestilah mampu membina universiti yang lebih demokratik, diyakini warga kampus dan berupaya melahirkan generasi pemimpin yang berani, matang serta berprinsip,” katanya.
Alumni MPPK turut menyatakan kesediaan memberikan pandangan dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan pembentukan undang-undang baharu itu mengambil kira aspirasi mahasiswa serta kepentingan pendidikan tinggi negara.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan memberi jaminan AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya, tanpa pengenalan sebarang undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.
Sebelum itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada agenda pembentukan One Higher Education Act, yang dilancarkan pada Januari 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd
