Malaysia-Hong Kong pemangkin baharu pasaran global?

KEUPAYAAN Hong Kong sebagai batu loncatan strategik bagi syarikat Malaysia menembusi pasaran global dan China kini diperkukuh menerusi gabungan kukuh antara modal, teknologi hijau serta kesediaan infrastruktur digital.

Melalui ekosistem perniagaan yang dinamik, usahawan tempatan berpeluang memanfaatkan insentif kompetitif serta keterbukaan kawal selia yang ditawarkan bagi memacu pertumbuhan perniagaan ke peringkat tertinggi.

Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia Hong Kong dan Macau, Datuk Song Hoi See berkata, semangat anak Malaysia terbukti mampu bersaing di peringkat antarabangsa apabila beliau sendiri berjaya menubuhkan rangkaian ruang legar lapangan terbang bebas pertama di dunia, Plaza Premium Group (PPG) bermula dari Hong Kong.

Menurut beliau, terdapat tiga elemen utama yang wajib ada dalam sesebuah persekitaran perniagaan untuk menjamin kejayaan iaitu persekitaran yang kondusif, peluang serta permintaan pasaran yang mampan.

“Hong Kong adalah sebuah bandar kewangan yang menjadi pusat pengumpulan dana modal dan sangat terbuka dalam menerima idea perniagaan yang unik serta luar biasa, selain kedudukannya yang strategik di mana dalam tempoh empat hingga enam jam penerbangan sahaja, kita sudah boleh menjangkau separuh daripada populasi dunia.

“Bagi syarikat tempatan yang mahu menembusi pasaran China, kuncinya adalah kesabaran dan kualiti produk yang mantap, di mana pelaburan di Hong Kong membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan insentif penubuhan perniagaan daripada pihak kerajaan sebelum melangkah ke pasaran China yang luas,” katanya semasa perbincangan panel di Seminar Perniagaan Hong Kong-Malaysia baru-baru ini. 

Tambahnya, peranan dewan perniagaan berkenaan juga amat besar termasuk berjaya mengumpul dana sebanyak HK$23 juta (kira-kira RM11.98 juta) sejak 1991 bagi menampung kos sara hidup seramai 180 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di universiti di sana menerusi biasiswa.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan EcoCeres, Paul Cheung berkata, syarikatnya yang merupakan antara pengeluar bahan api mampan kedua terbesar di dunia menjadi bukti kejayaan penstrukturan rantaian nilai yang lengkap antara Hong Kong dan Malaysia.

Menurutnya, projek yang mendapat sokongan dana global ini menggabungkan kelebihan modal serta pemindahan teknologi hijau dari China ke Hong Kong, sebelum dikembangkan ke pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Kami memilih Johor sebagai lokasi loji penapis kedua terbesar kami yang berkeluasan lebih 15 hektar dan menggaji lebih 400 pekerja tempatan kerana Malaysia menyediakan komitmen yang tinggi, kemudahan infrastruktur serta kepakaran dalam sektor minyak sawit bagi melengkapkan rantaian bekalan bahan api penerbangan mampan (SAF).

“Sektor penerbangan tidak boleh bergantung kepada kuasa bateri kerana faktor berat, jadi bahan api hijau adalah satu-satunya jalan keluar untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan sinergi dua hala antara Hong Kong dan Malaysia ini adalah kunci utamanya,” katanya. 

Dalam pada itu, Naib Pre­siden Kanan Ant International, Gary Liu berkata, pihaknya melihat Kuala Lumpur dan Hong Kong sebagai dua pasaran paling utama dalam strategi pelunasan operasi global mereka di luar China.

Katanya, Ant Group yang menubuhkan pejabat di Malaysia sejak dua tahun lalu kini telah mengembangkan jumlah bakat tempatan daripada sifar kepada 1,500 kakitangan, menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab operasi luar negara tunggal terbesar bagi syarikat itu.

“Kami sentiasa mengikut jejak langkah tingkah laku pengguna dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari China yang secara konsisten memilih Hong Kong sebagai destinasi pertama mereka untuk pasaran antarabangsa melalui penyediaan akaun pelbagai mata wang dan perkhidmatan pertukaran wang asing.

“Bagi syarikat yang mahu mengurangkan risiko turun naik mata wang, Hong Kong merupakan pusat kecairan terbesar bagi Renminbi China pesisir luar, dengan 100 peratus transaksi antarabangsa kami bagi mata wang itu disalurkan melalui pasaran berkenaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai masa depan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, pengurusan dagangan masa hadapan memerlukan penyelesaian transaksi masa nyata secara 24 jam tanpa perlu menunggu operasi bank dibuka.

“Sebab itu Hong Kong menjadi pilihan semula jadi kerana ia memiliki rantaian kecairan aset token yang sangat besar merangkumi deposit bank dan dana pasaran wang yang diiktiraf, selain keterbukaan pihak kawal selia seperti Lembaga Kewangan Hong Kong (HKMA) dalam menyokong projek teknologi berasaskan blokchain,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top