mahaizura@mediaprima.com.my
LOKASI sesak seperti pusat beli-belah, taman tema, pasar malam atau lokasi pelancongan boleh menyebabkan anak terpisah daripada ibu bapa hanya dalam beberapa saat.
Dalam keadaan itu, kanak-kanak mudah panik, menangis dan mula berjalan ke sana sini untuk mencari keluarga.
Tindakan itu sebenarnya boleh menyebabkan mereka semakin jauh daripada lokasi asal dan menyukarkan usaha pencarian.
Sebab itu, selain sentiasa mengawasi anak, ibu bapa perlu membekalkan mereka dengan kemahiran asas untuk menghadapi situasi kecemasan termasuk mengetahui apa perlu dilakukan sekiranya terpisah daripada keluarga.
Ini termasuk mengajar anak mengenal pasti individu yang selamat untuk diminta bantuan, mengingati maklumat penting serta menetapkan lokasi pertemuan apabila berada di tempat sesak.
Ibu bapa juga boleh memperkenalkan kod rahsia keluarga sebagai langkah keselamatan tambahan sekiranya orang lain datang mengambil anak di sekolah bagi pihak mereka.
Kaedah mudah ini membantu anak membuat keputusan apabila berdepan situasi tidak dijangka.
Tip keselamatan untuk anak:
1. Berhenti, jangan merayau
Mengajar anak supaya kekal berhampiran lokasi terakhir mereka melihat ibu bapa dan tidak berjalan jauh untuk mencari sendiri.
2. Kenal siapa boleh membantu
Minta anak mendapatkan bantuan pengawal keselamatan, anggota polis atau petugas di kaunter informasi.
3. Hafal maklumat penting
Anak yang sudah mampu menghafal boleh diajar nama penuh ibu bapa dan sekurang-kurangnya nombor telefon untuk dihubungi.
4. Tetapkan lokasi berkumpul
Sebaik tiba di tempat sesak, pilih satu lokasi mudah dikenal pasti sebagai tempat berkumpul sekiranya terpisah.
5. Wujudkan kod rahsia keluarga
Pilih perkataan yang hanya diketahui ahli keluarga. Jika seseorang mendakwa dihantar ibu atau bapa untuk mengambilnya, anak boleh meminta kod itu sebelum mengikut individu itu.
6. Jangan mudah ikut orang lain
Ajar anak supaya tidak mengikut individu yang tidak dikenali walaupun orang itu mengetahui nama mereka atau mendakwa mengenali keluarga.
7. Jangan dedahkan kod kepada orang lain
Terangkan bahawa kod keluarga adalah rahsia dan tidak boleh dikongsi dengan rakan atau dimuat naik dalam talian. Tukar kod selepas ia digunakan.
8. Berlatih sebelum berlaku kecemasan
Lakukan simulasi ringkas dari semasa ke semasa supaya anak lebih bersedia jika situasi sebenar berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd
