suliati@hmetro.com.my
Keselamatan makanan bukan sekadar berkaitan kebersihan ketika menyediakan hidangan, sebaliknya memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang betul daripada setiap pengendali makanan.
Menyedari kepentingan itu, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Unit Latihan FaSTUpSkill menganjurkan dua slot Kursus Latihan Pengendali Makanan (KLPM) sempena ‘National Training Week’ (NTW) 2026, baru-baru ini.
Program di FST, USIM itu disertai 50 peserta daripada pelbagai latar belakang.
KLPM adalah latihan wajib bagi semua pengendali makanan seperti diperuntukkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran peserta mengenai amalan pengendalian makanan yang selamat serta bersih.
Pada masa sama, latihan itu memastikan peserta memahami keperluan perundangan berkaitan keselamatan makanan yang ditetapkan di Malaysia.
Sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penganjuran kali ini turut mencatat pencapaian tersendiri apabila FaSTUpSkill buat julung kalinya menjalinkan kerjasama strategik dengan Seksyen Latihan dan Pembangunan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USIM serta HRD Corp Negeri Sembilan.
Pengerusi FaSTUpSkill merangkap Tenaga Pengajar KLPM, Dr Norshazila Shahidan berkata, penganjuran latihan itu adalah antara usaha berterusan pihaknya untuk memperluaskan akses kepada latihan profesional yang berkualiti kepada masyarakat.
Katanya, KLPM adalah antara pengisian utama FaSTUpSkill sempena NTW 2026, sekali gus mencerminkan komitmen FST dalam memperkasa budaya pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan akses kepada latihan berkualiti.
“Kita berhasrat terus menyediakan latihan profesional penuhi keperluan industri dan komuniti, di samping melahirkan pengendali makanan kompeten, berpengetahuan serta sentiasa mengamalkan standard keselamatan makanan yang tinggi,” katanya.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen USIM dalam menyokong agenda pembangunan modal insan melalui penyediaan latihan profesional yang relevan, berkualiti dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini juga memperkukuh peranan FaSTUpSkill sebagai unit latihan di bawah FST dalam memanfaatkan kepakaran akademik fakulti untuk pembangunan industri dan komuniti.
Peserta yang berjaya menamatkan latihan menerima Sijil Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh KKM.
Sijil itu mempunyai tempoh sahlaku seumur hidup dan diterima oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia bagi memenuhi keperluan pelesenan pengendali makanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
