2026 mungkin musim terakhir buat Cristiano Ronaldo

Lisbon: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri penghujung kariernya apabila bintang Portugal itu mengakui 2026 mungkin menjadi tahun terakhirnya dalam bola sepak.

Ronaldo, 41, mendedahkan perkara itu dalam temu bual bersama Vogue yang diterbitkan semalam, sambil menegaskan dia mahu meninggalkan legasi yang cukup istimewa sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang menjadi sebahagian besar hidupnya.

“Ini mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak dan saya mahu meninggalkan legasi yang hebat,” katanya.

Ronaldo yang kini bersama Al Nassr masih mempunyai kontrak bersama kelab Arab Saudi itu sehingga Jun 2027, namun sebelum ini tidak pernah menetapkan tempoh masa bila dia bersedia untuk menamatkan karier profesionalnya.

Bekas bintang Sporting CP, Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu juga sebelum ini mengumumkan tidak lagi akan beraksi di Piala Dunia, namun tidak menutup kemungkinan untuk terus mewakili Portugal pada masa akan datang.

Ronaldo kini memegang rekod sebagai pemain dengan penampilan terbanyak dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dengan 233 kaps serta 146 gol.

Pada Piala Dunia 2026, Ronaldo turut mencipta sejarah apabila menjadi antara hanya dua pemain lelaki bersama Lionel Messi dari Argentina yang beraksi dalam enam edisi kejohanan dunia.

Dia menjaringkan tiga gol pada edisi kali ini, namun turut menjadi sasaran kritikan sebahagian penyokong yang kecewa dengan persembahannya.

Bagaimanapun, Ronaldo berkata dia sudah mempunyai perancangan jelas mengenai kehidupannya selepas bersara daripada bola sepak.

“Saya sudah merancang masa depan saya. Saya mempunyai banyak perkara untuk dilakukan sehingga sukar untuk memberitahu hanya satu perkara.

“Apabila bola sepak meninggalkan satu ruang besar dalam hidup anda, anda perlu mengisi masa dengan pelbagai perkara, bukan hanya satu.

“Saya juga mahu lebih berseronok, melancong lebih banyak, menonton dan bermain padel yang saya sangat gemari, selain terus menikmati apa yang saya peroleh, apa yang kami peroleh,” katanya.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu memulakan karier profesional bersama Sporting CP sebelum mencipta nama bersama Manchester United, Real Madrid dan Juventus.

Selepas lebih dua dekad dalam dunia bola sepak, Ronaldo mengakui perjalanan itu dipenuhi pengorbanan yang besar.

“Bagaimanapun, ia sudah berlangsung selama 25 tahun dengan begitu banyak pengorbanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top