Pemimpin Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan DAP tidak akan mudah membuat keputusan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan, terutama selepas wakil parti itu menikmati pelbagai jawatan dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurut beliau, keputusan DAP untuk terus kekal dalam kerajaan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sesebuah parti politik yang sudah mempunyai kedudukan serta pengaruh dalam pentadbiran lazimnya sukar melepaskan kuasa yang dimiliki.
“DAP ada jawatan daripada peringkat Menteri penuh, Timbalan Menteri, kemudian Ketua Menteri, EXCO, wakil rakyat, kemudian Ahli Majlis dan di bawah sana, beribu-ribu orang.
“Sekali sudah rasa nikmat kuasa, takkan mudah dilepaskan kalau di Pulau Pinang seseorang itu sudah menjadi Ahli Majlis, kamu fikir mudah untuk mereka lepaskan?
“Apa yang membuatkan kamu fikir dengan mudah mereka yang mengundi (dalam persidangan DAP) akan kata, jomlah kita rasa sudah tidak serasi dengan parti ini maka kita kena keluar memegang prinsip dan kita tidak akan lagi menjadi kerajaan ini,” katanya pada Siri Jelajah Kancil Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Rafizi berkata, beliau sudah menjangkakan sejak dua hingga tiga minggu lalu bahawa DAP tidak akan memilih untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, beliau percaya parti berkenaan akan terus berada dalam kerajaan sehingga berlangsungnya pilihan raya umum akan datang.
“Orang UMNO dengan PAS sudah gembira, senyum lebar kerana menyangka kerajaan Pakatan Harapan akan jatuh selepas DAP menarik diri. Saya jawab daripada awal, kamu ini macam tidak kenal orang politik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi mendakwa parti-parti besar seperti PKR dan DAP cenderung menggunakan isu berkaitan nostalgia politik masa lalu serta kebimbangan berasaskan kaum apabila berdepan cabaran mendapatkan sokongan pengundi.
Beliau mendakwa pendekatan berkenaan lebih banyak digunakan berbanding menawarkan penyelesaian terhadap isu dan masalah semasa yang dihadapi rakyat.
“Jadi maksudnya, kalau kita tengok PKR sebelah sana, DAP sebelah sini, dia akan pusing-pusing semua yang diulang-ulang itu adalah benda nostalgia dia senang sembang cerita lepas, percayalah ia akan berterusan begitu.
“Sama juga dengan DAP, dia hanya boleh cakap kepada orang bukan Melayu dan ahli mereka, bahawa kalau kita tak kekal nanti kita balik macam dulu. Balik macam dulu maksudnya, jawatan tak ada, jadi parti pembangkang semula,” ujaranya.
Pandangan Rafizi itu dibuat selepas Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang berlangsung semalam memutuskan parti tersebut untuk terus berada dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan.
Keputusan itu mendapat sokongan 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus, manakala 242 undi atau 11.5 peratus menyokong supaya DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Artikel lain: Demi kepentingan negara, PH yakin DAP terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata keputusan berkenaan menunjukkan wujudnya mandat yang jelas daripada anggota parti kepada kepimpinan untuk meneruskan agenda reformasi menerusi kerajaan.
Keputusan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan DAP sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, selepas sebelum ini wujud spekulasi mengenai pendirian parti itu terhadap kerjasama politik sedia ada.
Sumber: Berita Harian (Siti Aminah Mohd Yusof)
