am@hmetro.com.my
Georgetown: Pancaran cahaya hijau dinyalakan di Hospital Pulau Pinang (HPP), berikutan pembedahan menderma organ daripada ibu kepada lima anak yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Khamis lalu.
Pancaran cahaya hijau itu dinyalakan sebagai simbol penghargaan tertinggi kepada penderma dan keluarga mereka atas keikhlasan serta pengorbanan yang tiada galang gantinya.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan berkata, pihaknya bersama HPP merakamkan ucapan takziah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga penderma organ berkenaan.
“Penderma organ berkenaan merupakan ibu berusia 36 tahun dan mempunyai lima cahaya mata yang meninggal dunia secara mengejut selepas mengalami kecemasan perubatan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya pada 13 Ogos lalu.
“Di sebalik kehilangan yang amat berat, hasrat murni mendiang mendaftar sebagai penderma organ sejak sekian lama, dihormati dan disokong sepenuhnya oleh suami.
“Keputusan mulia yang dibuat semasa hayatnya kini menjadi hadiah kehidupan tidak ternilai buat insan lain yang memerlukan,” menurut kenyataan itu di Facebook, malam tadi.
Berikutan itu, JKNPP memaklumkan bahawa HPP berjaya melaksanakan prosedur perolehan pelbagai tisu (Multiple Tissue Procurement) yang merupakan prosedur kedua seumpamanya di HPP bagi tahun ini.
Kejayaan itu merupakan hasil komitmen dan kerjasama erat pelbagai pihak, termasuk Jabatan Oftalmologi, Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Jabatan Pembedahan Ortopedik, Jabatan Forensik dan Jabatan Patologi serta Pusat Transplan Negara.
“Lebih bermakna, hari pemergian mendiang pada tanggal 13 Ogos merupakan Hari Pendermaan Organ Sedunia.
“Pada hari yang membawa kedukaan buat sebuah keluarga, hasrat murni yang pernah diikrar oleh mendiang membuka lembaran harapan buat insan lain,” menurut kenyataan itu lagi.
JKNPP memaklumkan, sempena Hari Pendermaan Organ Sedunia dan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2026, warga kerja HPP turut menzahirkan solidariti serta sokongan terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ dengan mengenakan pakaian berwarna hijau.
“Kisah ini mengingatkan kita bahawa satu ikrar yang dibuat hari ini mungkin menjadi harapan paling bermakna buat seseorang pada masa hadapan,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kejadian wanita yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV), sebelum merempuh dua motosikal yang diparkir di tepi Jalan Macalister di sini, 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kemalangan yang berlaku di hadapan sebuah restoran itu, mangsa warga tempatan berusia 36 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
© New Straits Times Press (M) Bhd
