Soalan
Di manakah tempat yang paling baik untuk dibayar zakat pendapatan sama ada di negeri tempat bekerja atau di kampung halaman dan bolehkah ia terus dibayar kepada asnaf?
Jawapan
Zakat disebut sebanyak hampir 30 kali di dalam al-Quran dan banyak juga ayat al-Quran yang menggandingkan zakat bersama dengan tuntutan solat.
Antaranya firman ALLAH SWT: “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan segala kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, kamu akan mendapatkannya (pahala) di sisi ALLAH. Sesungguhnya ALLAH MAHA MELIHAT apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 110)
Zakat pendapatan pula merupakan salah satu daripada zakat yang wajib ditunaikan selepas umat Islam memperoleh bayaran seperti gaji bulanan, tunggakan gaji, elaun, bonus atau dari sumber lain seperti pekerjaan tambahan atau kerja lebih masa, jika cukup haul dan nisab.
Begitu juga sumber pendapatan daripada hasil sewa aset seperti sewaan rumah, kenderaan dan sebagainya.
Pembayaran zakat pendapatan hanyalah sebanyak 2.5 peratus sahaja daripada pendapatan yang kita peroleh.
Merujuk kepada soalan tempat yang paling baik untuk melaksanakan zakat pendapatan, para ulama menjelaskan sebaik-baiknya (afdal) membayar zakat di negeri tempat kita bekerja.
Sebagai contoh, jika kita bekerja di Kuala Lumpur, sebaik-baiknya dilaksanakan pembayaran zakat pendapatan di Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Zakat tetap sah jika dibayar terus kepada asnaf selagi ia memenuhi syarat, namun sebaik-baiknya ia dibayar kepada agensi yang menguruskan kutipan zakat yang sah.
Ini kerana jumlah dana dan manfaat daripada zakat yang dikumpulkan itu lebih banyak berbanding individu tersebut membayar terus kepada asnaf yang dipilihnya.
Bayangkan jika zakat pendapatan seseorang itu berjumlah RM1,000 setahun, maka jumlah tersebut hanya terhad kepada beberapa asnaf sahaja.
Jika zakat pendapatan itu dikumpulkan di bawah satu agensi, maka jumlahnya akan menjadi lebih besar dan ia dapat dimanfaatkan kepada asnaf yang lebih ramai.
Agensi kutipan zakat juga mempunyai perancangan yang lebih terperinci untuk membantu asnaf dengan pelbagai skim bantuan yang boleh dipohon mereka.
