helmi.talkah@bh.com.my
Serdang: Kuartet 4×100 meter (m) wanita Sarawak mencipta sejarah selepas muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dalam detik penuh dramatik apabila mereka sendiri menyangka sekadar meraih pingat perak.
Pelari terakhir, Ormilla Octavia Codday Nyadau berkata, mereka sudah menjangka Terengganu memenangi perlumbaan selepas kuartet lawan meraikan kejayaan sebaik melintasi garisan penamat.
Namun, paparan pada papan keputusan elektronik mengubah segalanya apabila nama Sarawak muncul di kedudukan pertama dengan catatan 46.89 saat (s), sekali gus menghadiahkan emas pertama acara 4x100m wanita buat negeri itu sejak SUKMA diperkenalkan pada 1986.
“Kami tidak sangka dapat menang kerana sasaran hanya mahu buat yang terbaik untuk Sarawak dan memperbaharui rekod peribadi pasukan.
“Kami ingat Terengganu yang menang, jadi apabila nama Sarawak dipaparkan di skrin, kami sangat gembira dan bangga kerana dapat mencipta sejarah untuk negeri,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Kuartet dibarisi Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafrina dan Ormilla mengetepikan cabaran Terengganu yang meraih perak menerusi Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nur Aina Syakira Mohd Rafizan, Nor Aliya Najihah Muda dan Jho Jun Lin dengan catatan 46.94s.
Gangsa pula menjadi milik Johor selepas Nabilah Natasha Azizyan, Miesatul Shafieqa Sapi, S Varshini dan Mazurah Saffree merekodkan 47.24s.
Lebih mengagumkan, kejayaan bersejarah itu hadir selepas kuartet Sarawak hanya sempat berlatih bersama selama seminggu sebelum SUKMA, selain berdepan gangguan jerebu di Kuching sehingga terpaksa memakai pelitup muka ketika menjalani latihan.
“Kami tidak banyak berlatih bersama kerana saya berada di sekolah dan mereka yang lain terpaksa berlatih tanpa saya. Keadaan jerebu juga menyebabkan kami tidak dapat menjalani latihan seperti biasa,” katanya.
Sebagai rekod, pada edisi SUKMA Sarawak 2024, kuartet Sarawak sekadar meraih gangsa dalam acara sama.
Menurut Ormilla, sasaran awal mereka hanya untuk memperbaiki catatan terbaik pasukan, manakala podium dianggap sebagai bonus.
“Kami tidak sasarkan emas, cuma mahu buat catatan terbaik. Syukur kami berjaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

