UMNO, BN kekal komited dalam Kerajaan Perpaduan hingga ke akhir – Mohamed Khaled

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kekal komited dan serius dalam menjayakan peranan serta tanggungjawabnya dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal Parlimen.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun BN bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dan PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, gabungan parti itu tidak menjadikan keputusan PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sebagai alasan menarik balik komitmen yang sudah diberikan.

“Perbezaan pentadbiran di peringkat negeri tidak menghalang kerjasama baik di peringkat Persekutuan. Ini adalah struktur dan realiti yang unik tentang negara kita.

“Bentuk kerjasama dan kelaziman politik seperti ini harus mula diterima dengan matang dan terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

UMNO dan BN sebelum ini memutuskan bertanding solo di PRN Johor dan membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Situasi itu mula mencetuskan kritikan keras dalam kalangan pemimpin PH pelbagai peringkat, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan hubungan kedua-dua gabungan politik itu semakin renggang.

Ketika desakan semakin kuat supaya PH menghentikan kerjasama dengan BN, Anwar yang juga Pengerusi PH sebaliknya menegaskan beliau memilih untuk kekal bekerjasama dengan BN dan UMNO di peringkat pusat demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Mohamed Khaled berkata, BN adalah parti yang sentiasa memberikan sepenuh komitmen dalam apa-apa kerjasama dilakukan, malah kesungguhan itu bukanlah perkara yang diberikan atau ditarik balik secara semberono atau sesuka hati.

“Ini termasuklah dalam isu penyertaan dan kedudukan BN dalam Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan PH dan PKR. Lebih-lebih lagi persetujuan dan komitmen BN untuk sama-sama menjayakan pembentukan Kerajaan Persekutuan ini adalah dibuat atas kesedaran untuk memberikan kestabilan politik dalam negara.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan yang sudah ditegaskan oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, BN melihat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sebagai satu titik perubahan atau keputusan yang harus diuruskan apabila tiba masanya kelak dan bukannya dengan mengubah komitmen sedia ada dalam kerjasamanya bersama PH di peringkat persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top