Urusan imigresen selesai beberapa saat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pengguna perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang bakal beroperasi awal 2027 akan dapat menyelesaikan urusan imigresen dalam masa beberapa saat sahaja.

Pengarah Projek RTS Link, Zulkifli Mohamed berkata, pengguna akan terlebih dahulu melalui pengimbas badan sebelum meneruskan langkah ke laluan ‘e-gate’ bagi urusan pelepasan imigresen di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar.

“Terdapat 100 laluan ‘e-gate’ di kompleks ICQ ini yang direka khas untuk menyokong pelepasan imigresen menggunakan kod QR atau pasport,” katanya ketika sesi taklimat media di bangunan berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, pengimbas badan itu berupaya mengesan barangan larangan ketika pengembara berjalan melaluinya.

“Sekiranya pengimbas mengesan unsur yang mencurigakan, pegawai bertugas akan mengarahkan pengembara ke kaunter kedua untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan gangguan pada kelancaran laluan,” katanya.

Menurut Zulkifli, selain laluan ‘e-gate’, kompleks ICQ itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik penyusuan bayi, surau dan kiosk tiket layan diri.

Katanya, kompleks ICQ itu juga akan menempatkan pejabat agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.

Esok, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dijangka melawat kompleks ICQ itu untuk melihat perkembangan projek RTS Link.

Selain 100 laluan ‘e-gate’, Kompleks ICQ Bukit Chagar turut dilengkapi dengan 10 laluan pemeriksaan keselamatan untuk pemeriksaan badan, 18 pengimbas bagasi, serta laluan khas bagi penumpang yang bergerak tanpa bagasi.

Semua laluan bertujuan untuk meminimumkan kesesakan dan memastikan kelancaran pergerakan penumpang.

RTS Link yang dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027 adalah perkhidmatan rel ulang-alik sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di daerah ini ke Woodlands North di Singapura.

Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka mengubah secara menyeluruh rutin harian bagi 350,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari, menjadikannya antara laluan rentas sempadan tersibuk di dunia.

Ia direka untuk mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan sasaran penumpang harian seramai 40,000 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top