Wanita saman pentadbir bandar raya kerana kena bayar tandas awam

VIENNA: Seorang wanita menyaman syarikat pengurusan dan pentadbiran bandar raya Vienna selepas beliau dikenakan bayaran untuk menggunakan tandas awam.

Apa yang menimbulkan perasaan tidak puas hatinya adalah kemudahan untuk golongan lelaki disediakan secara percuma.

Melanie Gradik, 27, yang memulakan tindakan undang-undang terhadap ibu negara Austria itu menyifatkan pengalamannya sebagai contoh bagaimana wanita dilayan secara tidak saksama dalam kehidupan seharian.

Kejadian berlaku ketika beliau mengunjungi sebuah taman awam bersama rakan lelakinya. 

Apabila kedua-duanya mahu menggunakan kemudahan tandas, Gradik dikenakan bayaran €0.50 (RM2.35) manakala rakan lelakinya dapat menggunakannya tanpa sebarang caj.

“Saya berada di taman bersama seorang rakan dan kami berdua perlu menggunakan tandas. “Beliau boleh menggunakannya secara percuma, tetapi saya perlu membayar €0.50. 

.”Saya tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku,” kata Gradik.

Beliau menegaskan mahu semua orang menggunakan tandas atas dasar kesaksamaan, sama ada semua orang perlu membayar €0.50 atau tiada siapa yang dikenakan bayaran.

Gradik telah memfailkan aduan undang-undang terhadap Vienna dengan berhujah bahawa mengenakan bayaran secara eksklusif kepada wanita untuk akses tandas awam melanggar undang-undang antidiskriminasi bandar raya berkenaan.

Peguamnya, Petra Laback menyatakan bahawa sekiranya mereka memenangi kes ini, ia berpotensi memberi impak kepada majlis perbandaran lain dan menjadi kes rujukan di seluruh Austria.- AGENSI

Scroll to Top