Rompakan di Genting Highlands: 2 minit larikan barang kemas, lolos sebelum Op Tutup

safeek@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tiga suspek yang kini dalam buruan polis dipercayai mengambil sekurang-kurangnya dua minit untuk melarikan barang kemas daripada sebuah kedai emas di dalam pusat beli-belah di Genting Highlands, hari ini.

Difahamkan, barangan berharga yang dilarikan suspek dianggarkan bernilai hampir RM1.7 juta.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal menunjukkan suspek menaiki sebuah kereta ke Genting Highlands untuk melakukan rompakan itu.

“Suspek yang memakai topi, pelitup muka dengan bersenjatakan kapak dan kuku kambing mengambil masa sekurang-kurangnya dua minit untuk melakukan rompakan.

“Kesemua mereka kemudian turut dikesan menuruni Genting Highlands (dengan kenderaan sama), sejurus melakukan rompakan,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Azry berkata, ketika ini usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan berdasarkan siasatan dan risikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Pahang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Bentong.

Sementara itu, sumber melaporkan pihak polis telah melaksana Operasi Tutup (Op Tutup) sejurus rompakan berlaku bermula jam 12 tengah hari sehingga petang tadi.

Namun, berdasarkan semakan rakaman kamera litsr tertutup (CCTV) kereta dinaiki suspek dipercayai melepasi pusat pemeriksaan lebih awal sebelum Op Tutup dilaksanakan.

Terdahulu, media melaporkan rompakan berlaku pada 11.40 pagi dengan tiga suspek berpakaian gelap sempat melarikan pelbagai jenis barang kemas dan jongkong emas daripada kedai emas di pusat beli-belah di Genting Highlands.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top