mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganjur Konsert Revolusi Radja 25 Tahun, memaklumkan pembatalan konsert terbabit yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada 19 September ini.
Dhyah Production dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan dibuat selepas mengambil kira situasi teknikal dalaman serta keadaan semasa yang tidak memungkinkan konsert diteruskan seperti dirancang.
Wakil penganjur Dhyah Prodution, Mahbub Dermawan, berkata, pihaknya amat kesal dengan keputusan terbabit dan memohon maaf kepada peminat, penaja, pihak pengurusan Radja serta semua pihak yang sudah memberikan sokongan.
“Kami memahami kekecewaan peminat yang telah menantikan kehadiran Radja di Kuala Lumpur. Keputusan ini dibuat dengan penuh berat hati dan setelah mengambil kira pelbagai aspek berkaitan penganjuran.
“Kami amat menghargai segala sokongan dan kefahaman yang telah diberikan,” katanya.
Menurutnya, pihak penganjur akan menghubungi semua pembeli tiket menerusi e-mel bagi memaklumkan proses pemulangan wang (refund).
“Pemulangan wang boleh dibuat melalui platform penjualan tiket rasmi di myticket.asia. Pembeli tiket dinasihatkan untuk menyemak e-mel masing-masing dan menyimpan bukti pembelian serta maklumat transaksi bagi tujuan penebusan
“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
