PETALING JAYA: Seramai 25,783 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setara tidak mendapat tawaran memasuki ke 20 universiti awam bagi sesi akademik 2026/2027.
Jumlah itu adalah baki 82,092 calon atau 76.1 peratus yang berjaya menerima tawaran program ijazah sarjana muda daripada 107,875 permohonan diterima menerusi sistem UPUOnline.
Selain STPM, pelajar tersebut melibatkan lepasan matrikulasi, asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma yang mengemukakan permohonan melanjutkan ke pengajian universiti awam pada April lalu.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kegagalan mendapat tempat di universiti awam tidak bermakna pelajar berkenaan sudah tiada peluang dan hilang harapan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, sebaliknya terdapat beberapa laluan lain yang boleh dipertimbangkan mereka termasuk meneruskan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Malah katanya, 25,783 pelajar itu masih berpeluang mengemukakan rayuan bagi mendapatkan tempat dalam program pengajian yang ditawarkan tertakluk kepada kekosongan dan syarat ditetapkan.
“Pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat di IPTA tidak seharusnya berputus asa kerana masih banyak laluan pendidikan yang boleh dipilih. Misalnya bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di mana mereka boleh menggunakan sijil peperiksaan itu untuk sambung pengajian bidang lain.
“Malah mereka boleh mengambil sijil kemahiran untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan boleh membina kerjaya dalam bidang yang diminati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, sebanyak 82,092 calon ditawarkan tempat pengajian bagi peringkat ijazah sarjana muda di 20 universiti awam pada tahun ini.
Menurut kementerian itu, kemasukan pelajar ke institusi itu dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan susunan semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Katanya, sebanyak 1,146 program pengajian ijazah sarjana muda ditawarkan bagi sesi kali ini.
Kata kementerian itu, mana-mana calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, pihak kementerian kini membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari bermula 14 Ogos lalu.
Selain itu, Izzat Afifi berkata, TVET juga menawarkan peluang besar kepada golongan belia, terutama dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang semakin mendapat perhatian kerajaan.
Katanya, masih ramai belia belum menyedari peluang luas yang tersedia dalam bidang TVET, termasuk peluang mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi tanpa perlu memiliki ijazah universiti.
“Sepertimana yang pernah dibentangkan oleh Penasihat Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, hanya 20 hingga 25 peratus sahaja pekerjaan yang memerlukan ijazah universiti, manakala selebihnya adalah dalam bidang TVET.
“Banyak juga pekerjaan berpendapatan tinggi tidak memerlukan ijazah tetapi sekadar pengajian kemahiran TVET dan sebab itu kerajaan memberikan fokus yang besar dalam memperkasakan TVET,” katanya.
Selain TVET, Izzat Afifi berkata, calon yang tidak mendapat tawaran ke UA turut mempunyai pilihan untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Beliau berkata, terdapat banyak IPTS berkualiti di Malaysia yang bukan sahaja diiktiraf dalam negara, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Jadinya, belia yang tidak dapat menyambung pengajian di IPTA tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya mencari peluang di jalan yang lain yang masih luas,” katanya.-UTUSAN
