EV pertama Ferrari dilelong pada harga RM161 juta

Los Angeles: Kereta elektrik pertama Ferrari, Luce, terjual pada harga 29.5 juta Pound Sterling (kira-kira RM161 juta) dalam jualan amal, sekali gus mencatat rekod bagi kenderaan baharu yang dijual di lelongan, lapor BBC.

Jualan Luce, hasil cetusan idea pereka iPhone British, Jony Ive, mencatat lebih 35 kali ganda harga biasa kereta itu dalam satu acara lelongan anjuran rumah lelongan RM Sotheby’s di California.

Sotheby’s berkata, semua hasil jualan akan disumbangkan kepada program pendidikan Yayasan Ferrari, manakala identiti pembeli Luce yang ditempah khas itu tidak didedahkan.

Luce menampilkan kemasan unik, komponen khusus, roda khas, brek yang disesuaikan dan kemasan putih.

Pelancaran Luce pada Mei lalu menerima kritikan apabila sesetengah pengulas berkata, reka bentuknya menyimpang daripada reka bentuk tradisional Ferrari dan menghilangkan sebahagian identiti jenama itu kerana menggunakan kuasa bateri serta mempunyai lima tempat duduk.

Pelancaran itu dilihat sebagai antara pelancaran kereta baharu terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menandakan kemasukan pertama Ferrari ke pasaran kenderaan elektrik (EV), sektor yang didominasi Tesla milik Elon Musk dan pengeluar kereta dari China.

Presiden Itali, Sergio Mattarella dan Pope Leo turut dijemput untuk melihat kenderaan baharu jenama mewah berkenaan.

Namun, harga saham Ferrari merosot sehari selepas pelancaran Luce susulan kritikan terhadap kereta berkenaan, termasuk daripada Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini dan bekas Pengerusi Ferrari, Luca Cordero di Montezemolo.

Montezemolo berkata, kereta itu berisiko memusnahkan sebuah legenda, manakala Ketua Pegawai Reka Bentuk Ferrari, Flavio Manzoni berkata, pengkritik adalah sebahagian daripada proses inovasi dan beliau percaya orang ramai akhirnya akan menghargai Luce.

Syarikat itu tidak mendedahkan sasaran jualan Luce tetapi menurut laporan Financial Times, ia sudah mencapai sasaran tahun ini susulan permintaan kukuh dari China.

Dalam pada itu, Sotheby’s berkata, kenderaan yang dilelong itu adalah peluang yang tiada tandingan untuk memiliki kereta pengeluaran pertama Luce.

Rekod semasa bagi harga tertinggi yang dibayar dalam lelongan kereta ialah Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupé 1955 yang sangat jarang ditemukan, yang dijual pada harga AS$142 juta (kira-kira RM 575.10 juta) pada 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top