PETALING JAYA: Perbandingan antara penyanyi meningkat naik, Ammara dengan kumpulan Indopop terkenal, No na telah membuka jalan untuk keduanya disatukan dalam projek khas.
Bapa Ammara, Azad Jasmin memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan pengurus kumpulan itu bagi merealisasikan projek khas yang akan dibangunkan kemudian.
“Insya-Allah, kami sedang berbincang dengan pengurus Nona. Ada perkara yang kami bincangkan. Jadi tengoklah macam mana.
“Kami belum berjumpa No na, tapi pengurus kami sedang berbincang sesuatu menerusi emel tentag perbandingan yang rancak di media sosial.
“Baru mereka faham bahawa Ammara ini budak kecil berumur 13 tahun, yang kelihatan seperti 18 tahun. Jadi perbincangan berlaku, kita tak tahu mungkin ada kolaborasi antara Ammara dengan Nona,” katanya.
Azad berkata demikian selepas pelancaran lagu Kita sempena hari kemerdekaan di Astro Bukit Jalil, semalam.
Dalam masa sama, Azad memaklumkam Ammara telah diundang ke Indonesia bagi memenuhi jemputan wawancara dan persembahan di sana.
“Ammara terima jemputan ke Indonesia, lagunya sudah diterima di sana. Terima kasih kepada netizen membuat perbandingan, kini hal itu heboh di Indonesia.
“Dua minggu lepas Ammara terbang ke Indonesia untuk melunaskan keinginan wartawan di sana untuk menemu bual dia. Dan Alhamdulillah, 31 Ogos ini beliau sekali lagi ke sana untuk membuat persembahan di stesen televisyen Indosiar.
“Jadi perbandingan di Internet ini bagus untuk dia, walaupun perkara itu pahit untuk ditelan seorang kanak-kanak 13 tahun.
Tapi yang bagusnya dia belajar,” katanya.
Bercakap tentang single baharu, Azad memaklumkan penyanyi Mimifly sedang merancang lagu kedua untuknya.
“Mimi melihat Ammara ini tak ubah seperti dirinya waktu kecil. Jadi dia teruja,” ujarnya.
Ditanya mengenai keadaan Ammara selepas mendapat kritikan daripada peminat muzik Indonesia, Azad berkata dia matang dan bersedia kerana sudah terbiasa dengan dunia hiburan.
“Dia kata kena orang maki dia. Tapi dia sangat matang. Dia sejak kecil melihat ibu ayahnya bekerja dalam industri seni, orang puji dan maki mak ayah dia. Jadi dia secara tidak lansung belajar.
“Untuk seorang kanak-kanak 13 tahun, saya rasa dia matang untuk lalui semua itu,” jelasnya.
Dalam masa sama, Azad memaklumkan Ammara tidak berdepan masalah ke sekolah kerana bergaul dengan rakan-rakan yang bersikap positif terhadapnya.
“Di sekolah dia berkumpul dengan kawan-kawan yang sangat positif. Malah, sekarang ini, kawan-kawan dan gurunya adalah peminat dia. Dia gembira pergi sekolah,” jelasnya lagi. – UTUSAN
