am@hmetro.com.my
Kuantan: Sebanyak 81 barang kemas pelbagai jenis dengan berat keseluruhan 2.5 kilogram dianggarkan bernilai RM1.74 juta dilarikan tiga individu di kedai emas di Sky Avenue, Genting Highland, Bentong, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan laporan, Balai Polis Genting Highlands menerima panggilan daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan kejadian samun di kedai emas.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 11.39 pagi semalam membabitkan tiga suspek lelaki yang memakai penutup muka, topi dan jaket.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai memasuki premis dengan bersenjatakan kapak dan kuku kambing.
“Suspek kemudiannya mengumpil dan memecahkan cermin pameran barang kemas sebelum mengambil lima bekas barang kemas yang mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis dengan berat keseluruhan 2.5 kilogram bernilai RM1,747,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, ketika kejadian berlaku, dua pekerja berada di dalam premis manakala seorang lagi pekerja keluar berehat.
“Tiada pelanggan berada di dalam premis ketika kejadian dan tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis itu serta tiada kecederaan dilaporkan.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama individu lelaki di Ampang.
“Susulan kejadian, Op Tutup diaktifkan pada 12 tengah hari di Check Point 2 Genting Highlands serta laluan menghala ke Batang Kali sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.15 petang,” katanya.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-31759522 atau balai polis berhampiran,” katanya.
- 2 minit larikan barang kemas, lolos sebelum ‘Op Cepat’
- Polis buru 3 suspek
- Genting Highlands kecoh, tular video dakwaan kedai emas dirompak ‘geng serba hitam’
© New Straits Times Press (M) Bhd

