M Nasir pertahan pilih Aliff Aziz bintangi teater muzikal

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Yang nak boikot itu adalah dalam empat orang,” seloroh komposer dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk M Nasir berhubung dakwaan segelintir peminat yang mahu memboikot teater muzikal Mansur & Liu arahannya.

Tindakan ini dibuat kerana mereka kurang berpuas hati dengan pemilihan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz sebagai pelakon utama teater ini yang dianggap mempunyai rekod buruk dalam dunia seni.

M Nasir berkata, peminat-peminat lain menyokong Aliff sebagai pelakon dan semua pihak kena memandang pada bakat besarnya.

“Bukan kita suka-suka saja pilih, setelah ambil kira dengan macam-macam. Dan saya dapati, saya pun sebenarnya baru kenal dan dia memang bagi sayalah, dia memang cocok dengan peranan itu,” katanya ditemui pada sidang media Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Konsert anjuran Luncai Emas ini akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 Disember depan.

Mengulas lanjut, M Nasir berkata, dia mengambil pendekatan tidak mengendahkan perkara itu dan menyukai Aliff kerana komitmennya yang bekerja bersungguh-sungguh.

“Selalunya hidup ini kita berdepan dengan pilihan. Jadi selalunya pilihan itu memberi kita tekanan tapi saya harap saya boleh menghadapi semua benda itu dengan fikiran yang rasional,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media teater muzikal Mansur & Liu pada 7 Ogos lalu, M Nasir menyifatkan Aliff sebagai individu paling sesuai memegang watak Sultan Mansur Shah berdasarkan kriteria serta bakat yang dimiliki.

Malah, M Nasir secara berseloroh mendedahkan faktor ketampanan Aliff turut menjadi antara kriteria pemilihannya untuk watak terbabit.

“Semua pelakon dipilih melalui sesi uji bakat. Mengapa mereka dipilih? Kami mempunyai kriteria kami sendiri. Jika melihat kepada persembahan mereka, saya merasakan mereka sangat sesuai dengan watak masing-masing.

“Terutamanya Aliff. Mengapa saya memilihnya? Sebab dia pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya.

Teater ini akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 20 September depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top