KPKT cadang pemenang Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 dicalonkan penerima pingat kebaktian

PETALING – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mencalonkan pemenang Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 untuk menerima pingat kebaktian daripada pihak istana sebagai mengiktiraf jasa serta pengorbanan mereka dalam memastikan kebersihan awam.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, cadangan itu susulan perbincangan beliau dengan Ketua Setiausaha Kementerian KPKT, Datuk Dr Wira M Noor Azman Taib bagi memastikan penerima anugerah pekerja pembersihan tahun ini turut mendapat pengiktirafan sewajarnya.

“Pemenang anugerah pekerja pembersihan negara tahun ini akan kita senaraikan dan dicalonkan kepada pihak istana untuk menerima pingat kebaktian daripada Tuan Yang Terutama atau negeri masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 di sini pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Kor Ming juga berkata, amalan memberikan penghormatan kepada wira pembersihan negara telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang hampir 10 tahun.

“Bagi saya, sudah tiba masanya wira-wira pembersihan negara kita di negeri lain turut diberikan pengiktirafan dan juga penghormatan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan itu penting kerana sektor pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam Malaysia kini disokong oleh 26,889 warga kerja di bawah syarikat konsesi, dan ramai dalam kalangan mereka telah menabur bakti melebihi sedekad.

Kor Ming berkata, pekerja pembersihan memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran negara kekal bersih, selamat dan selesa untuk rakyat walaupun tugas mereka sering dilakukan di belakang tabir.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan negara bukan hanya terletak pada pekerja pembersihan sebaliknya adalah tanggungjawab setiap rakyat, dan sikap tidak membuang sampah perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat bagi memastikan aspirasi Malaysia Bersih, Rakyat Sejahtera dapat direalisasikan.

Sehubungan itu, Kor Ming meminta SWCorp memperhebat penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi memastikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan awam.

“Setakat semalam, sebanyak 14,807 notis kesalahan telah dikeluarkan, dan seramai 548 individu menjalani PKM di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672.

“Daripada jumlah tersebut, 419 telah selesai melaksanakan PKM manakala 129 individu masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata, PKM bukan semata-mata satu bentuk hukuman sebaliknya adalah instrumen pendidikan untuk membentuk sikap, disiplin dan rasa tanggungjawab terhadap kebersihan awam.

Pada majlis itu, seramai tujuh individu menerima Anugerah Pekerja Pembersihan 2026, masing-masing dua daripada Alam Flora Sdn Bhd dan lima daripada SWM Environment Sdn Bhd.

Turut disampaikan sumbangan keprihatinan kepada tiga penerima sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan warga kerja.- Bernama 

Scroll to Top