Seorang maut, 207 jatuh sakit akibat salmonela di UK

London: Seorang maut, manakala 207 lagi jatuh sakit akibat salmonela di United Kingdom (UK) yang dipercayai mungkin berpunca daripada makanan yang menggunakan telur import, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) pada Selasa.

UKHSA dalam perkembangan terbaharu memaklumkan siasatan dilancarkan selepas peningkatan kes salmonela dikesan pada Mei, membabitkan satu strain yang dikenal pasti menerusi penjujukan genom keseluruhan (WGS), lapor Anadolu Ajansi.

Menurut agensi itu, sebanyak 207 kes disahkan antara 11 Ogos 2025 hingga 1 Ogos 2026, dengan 206 daripadanya dilaporkan tahun ini.

Kesemua kes dikenal pasti dalam kelompok kaitan lima polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) yang sama berdasarkan WGS, menunjukkan kemungkinan berpunca daripada sumber pencemaran yang sama.

Daripada jumlah itu, 199 kes dilaporkan di England termasuk 47 di London dan 38 di Yorkshire and the Humber.

Mereka yang terjejas terdiri daripada bayi hingga individu berusia 90 tahun, dengan lebih satu pertiga memerlukan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, UKHSA memaklumkan kebanyakan pesakit pulih tanpa memerlukan rawatan.

“Kami bekerjasama dengan Agensi Piawaian Makanan dan agensi kesihatan awam lain untuk menyiasat wabak salmonela yang mungkin dikaitkan dengan telur import dari luar UK,” kata pakar epidemiologi utama bagi jangkitan gastrousus UKHSA, Hannah Charles.

Salmonela boleh ditemukan dalam pelbagai sumber makanan termasuk ayam, daging dan telur mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top