Alia tahan sakit raih dua emas

helmi.talkah@bh.com.my

Serdang: Atlet pelapis kebangsaan, Alia Batrisya Nasaruddin sanggup mengetepikan kesakitan demi merealisasikan impian terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA).

Pengorbanannya berbaloi apabila berjaya menggenggam dua pingat emas menerusi acara lompat jauh dan lompat kijang wanita pada edisi Selangor 2026.

Dalam keadaan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kanan dan retak tulang kaki kiri, Alia tetap turun beraksi sebelum mempertahankan kejuaraan lompat kijang wanita menerusi lompatan 12.50 meter (m) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas atlet berusia 20 tahun berkenaan terlebih dahulu mengungguli lompat jauh wanita pada Ahad lalu dengan catatan 5.88m.

Ia menyaksikan Alia mengulangi pencapaian SUKMA Sarawak 2024 apabila sekali lagi membawa pulang emas lompat kijang, selain menambah satu lagi emas menerusi lompat jauh.

Pingat perak lompat kijang wanita dimenangi wakil Sarawak, Maritza Ferrer Anak Neil Armstrong (11.92m), manakala atlet Perak, Farah Syakira Azifsafarin meraih gangsa dengan catatan 11.91m.

Alia mengakui bukan mudah untuk beraksi dalam keadaan kecederaan yang masih belum pulih sepenuhnya, namun status SUKMA Selangor sebagai penampilan ketiga dan terakhirnya menjadi pembakar semangat untuk terus bersaing.

“Saya memang bersedia untuk SUKMA kali ini sejak selepas edisi Sarawak 2024 lagi, tetapi saya mengalami kecederaan. Untuk SUKMA kali ini pun saya masih belum pulih sepenuhnya.

“Tapi sebab ini SUKMA terakhir saya, saya mahu teruskan juga,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.

Menurut Alia, dia masih berasa sengal ketika melakukan lompatan terutama dalam acara lompat kijang yang menggunakan kedua-dua belah kaki.

Walaupun gagal memperbaharui rekod peribadi (PB), Alia tetap berpuas hati selepas mencapai sasaran dua emas yang diletakkan sebelum temasya.

“Sasaran saya memang untuk dapatkan dua emas kali ini. Walaupun tidak capai PB, saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.

Atlet di bawah bimbingan bekas jaguh lompat jauh negara, Hakimi Ismail itu selepas ini mahu memberi tumpuan kepada proses pemulihan sebelum memburu tiket ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

Dalam acara baling tukul besi lelaki, Muhammad Dzulfikri Abu Dzarda dari Perlis muncul juara selepas mencatatkan jarak 50.32m.

Pingat perak menjadi milik atlet Sabah, Nabil Faiz Ayub dengan catatan 49.63m, manakala Daniel Lau Hang Jung dari Sarawak meraih gangsa menerusi 48.89m.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top