Alami 'panic attack', dua pelajar MRSM hilang diberi tempoh bertenang sebelum disiasat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang ditemukan selepas dilaporkan hilang diberi tempoh bertenang sebelum siasatan lanjut dijalankan selepas salah seorang daripada mereka mengalami keadaan seperti serangan panik atau kejutan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua pelajar itu baru diminta memberi keterangan kepada polis pada Isnin lalu bagi membantu siasatan mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Isnin lepas baru mereka diminta untuk disoal siasat oleh polis Alor Gajah, kalau tak silap saya untuk mendapatkan maklumat yang sebenar.

“Kita bagi ruang sikit, sebab salah seorang pelajar itu bila kita dapat jumpa, dia macam ‘panic attack atau ‘shock’ sebab itu kita hantar ke hospital.

“Jadi kita tak mahu mengganggu psikologi dan emosi mereka, biar bertenang, kita bagi tempoh seminggu ini untuk mereka dapat disiasat,” katanya ketika ditemui di sidang media Pra-Pelepasan Pelajar Tajaan MARA Ke Luar Negara Perdana 2026, di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan Pelaburan MARA, Lailatul Asmah Mohd Tahir dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan pelajar ke klinik kini sedang diperhalusi susulan kejadian berkenaan.

Katanya, kejadian itu perlu dilihat sebagai kes terpencil dan tidak wajar dijadikan asas untuk mewujudkan peraturan yang boleh menjejaskan aktiviti serta program pelajar MRSM.

“Sebenarnya perkara ini adalah kes terpencil yang bagi saya tidak boleh kita jadikan satu konklusif untuk membuat satu peraturan yang akhirnya merencatkan segala aktiviti dan program yang selama ini berjalan dengan baik di MRSM.

“Jadi pelajar ini pun perlukan proses pematangan,” katanya.

Beliau berkata, pelajar MRSM sememangnya dibenarkan keluar bandar sekali atau dua kali sebulan mengikut syarat tertentu dan kebiasaannya tidak ditemani guru.

“Daripada dahulu lagi, ini bukan benda baru, pelajar memang boleh keluar bandar, katakanlah sebulan itu sekali ataupun dua kali mengikut syarat tertentu.

“Mereka keluar pun tidak akan ditemani oleh guru, jadi itu sebab ini semua proses pendidikan dan pembelajaran,” katanya.

Asyraf berkata, pihaknya perlu mengetahui faktor sebenar yang membawa kepada kejadian itu sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung SOP berkenaan.

“Cuma kita nak tahu apakah kes terpencil ini terkait dengan apa, apakah faktor lain yang menjurus kepada itu…sebab itu saya tak boleh membuat kenyataan selagi mana kita tak dapat gambaran yang sebenar,” katanya.

Pada majlis itu, MARA meraikan kira-kira 600 pelajar tajaan institusi itu yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara secara berperingkat tahun ini.

Pelajar berkenaan akan melanjutkan pengajian di sembilan negara iaitu China, New Zealand, Korea Selatan, Perancis, Australia, Ireland, Kanada, United Kingdom dan Mesir.

Sebelum ini media melaporkan dua pelajar Tingkatan Empat MRSM Alor Gajah dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu sebelum ditemukan di sekitar Pasar Seni, di sini, empat hari kemudian.

Kedua-dua pelajar berkenaan mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan di Alor Gajah selepas kurang sihat sebelum dilaporkan hilang, manakala polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top