'Teknologi boleh semakin pintar, manusia tetap jadi benteng terakhir' – Presiden PSIMA

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kecanggihan mesin pengimbas bernilai jutaan ringgit tidak akan menjamin keselamatan negara sekiranya manusia yang mengendalikannya tidak mempunyai integriti.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, perkara itu selari dengan pandangan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa kecanggihan mesin pengimbas tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan.

“Teknologi boleh menjadi semakin pintar tetapi manusia tetap menjadi benteng terakhir sesebuah sistem. Kita boleh membeli teknologi paling canggih di dunia tetapi integriti tidak boleh dibeli.

“Ia mesti dibina. Mesin boleh mengesan. Sistem boleh mengawal tetapi akhirnya, manusia menentukan sama ada sistem itu berjaya atau gagal,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, isu berkenaan diketengahkan ketika menyampaikan ucaptama di International Psychology Conference 2026 (IPC 2026) menerusi konsep ‘The Missing Infrastructure’ – Infrastruktur yang Hilang di HELP University, di sini.

“Malaysia sudah membina jalan raya bertingkat, rel transit ekspres (ERT), transit aliran massa (MRT), bangunan pencakar langit, teknologi dan rangkaian digital bertaraf tinggi.

“Namun kita tidak boleh mengabaikan satu lagi komponen pembangunan negara iaitu infrastruktur psikologi.

“la dibina melalui kepercayaan, daya tahan, integriti, empati dan kesepaduan sosial.

“Daripada sudut psikologi, integriti bukan sekadar mengetahui betul atau salah. Ia adalah keupayaan melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa melihat.

“Apabila integriti runtuh, teknologi bernilai jutaan ringgit sekalipun boleh kehilangan fungsinya,” katanya.

Shazli Ezzat yang juga Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, masyarakat tidak boleh hanya bertanya sejauh mana kecanggihan sistem sebaliknya perlu menilai kekukuhan integriti manusia yang diamanahkan.

Sehubungan itu, PSIMA menyeru supaya pembangunan modal insan negara turut memberi penekanan kepada penilaian psikologi, pembangunan karakter dan kepimpinan beretika terutamanya dalam sektor kritikal, penguatkuasaan serta keselamatan.

“Kita perlu beralih daripada pendekatan ‘membaiki selepas berlaku’ kepada ‘mencegah sebelum berlaku’. Psikologi perlu berada di hadapan dalam proses pemilihan, pembangunan, pemantauan dan pengukuhan modal insan.

“Dalam membina Malaysia MADANI, negara tidak cukup sekadar mempunyai ‘smart infrastructure’ sebaliknya memerlukan ‘psychologically strong people’ iaitu manusia berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top