Kerajaan tentukan sama ada SC akan kawal selia pelaburan TH

GEORGE TOWN: Keputusan sama ada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan diberi peranan mengawal selia pengurusan dana dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) akan ditentukan oleh kerajaan.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, perkara itu antara cadangan yang dikemukakan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan kini ia sedang diteliti menerusi satu pasukan petugas bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH.

“Bagaimanapun, keputusan adalah di tangan kerajaan. Kita hanya mengikut arahan,” katanya selepas menghadiri program jelajah SC Penang Semicon di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, SC dicadangkan untuk mengawal selia aspek pengurusan dana serta pelaburan TH sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerangka pengawasan institusi berkenaan dan ketika ini, cadangan itu sedang diteliti susulan syor RCI berkaitan TH.

Mengulas lanjut, Mohammad Faiz berkata, pasukan petugas berkenaan sedang membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh RCI bagi mengenal pasti perkara yang sesuai untuk dilaksanakan.

“Kalau kerajaan merasakan ia berpatutan, maka, kita akan laksanakan. Tetapi, buat masa ini, ada satu pasukan petugas bersama Bank Negara dan TH untuk membincangkan cadangan daripada RCI dan mana-mana yang berpatutan, kita akan laksanakan,” katanya.

Jelas beliau, cadangan supaya SC memainkan peranan dalam mengawal selia pelaburan TH adalah wajar selepas mengambil kira jumlah pelaburan institusi berkenaan yang besar.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai aspek pematuhan Syariah dalam pelaburan TH, Mohammad Faiz berkata, RCI turut mencadangkan satu penubuhan jawatankuasa Syariah yang khusus seperti yang dilaksanakan oleh institusi perbankan Islam bagi memastikan pelaburan yang dibuat mematuhi prinsip Syariah.

“Cadangan dalam RCI ialah menubuhkan satu jawatankuasa Syariah seperti yang ada pada setiap bank Islam. Ini akan meyakinkan pendeposit bahawa apa yang mereka laburkan sememangnya mengikut Syariah,” katanya.

Mohammad Faiz berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan merupakan antara cadangan yang baik dan berharap pihak TH dapat menyediakan jawatankuasa tersebut. – UTUSAN

Scroll to Top