Lori Imigresen disyaki dilanggar sebelum rempuh 3 sekeluarga – Polis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lori penguat kuasa Jabatan Imigresen (Imigresen) yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi, dipercayai dirempuh sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan melanggar empat sekeluarga yang sedang menunggu untuk melintas jalan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika lori tanpa muatan itu dalam perjalanan menuju Kampung Baru melalui persimpangan lampu isyarat antara Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), berhampiran Maju Junction.

Beliau berkata lori Imigresen melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat laluannya merah, namun lampu suar (beacon) dan siren kenderaan itu diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Chow Kit menghala ke Jalan TAR selepas lampu isyarat hijau, melanggar bahagian hadapan lori berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori Imigresen gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar satu keluarga yang sedang menunggu untuk melintas jalan dari arah Medan Tuanku menuju ke Chow Kit.

“Lori berkenaan turut melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Inokom Matrix yang sedang berhenti di lampu isyarat dari arah Kampung Baru menuju ke Jalan Raja Laut,” katanya, hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata, siasatan lanjut kini dijalankan terhadap kedua-dua pemandu terbabit, masing-masing pemandu lori Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun, selepas kedua-duanya direman sehari.

Beliau berkata pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Sehubungan itu, saya meminta semua pihak terutama masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian itu, tiga daripada empat sekeluarga maut selepas dirempuh lori jenis Isuzu Black Maria milik Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati lori tanpa penumpang berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT).

Mangsa dikenali sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, dan dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12.

Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut terbabit dalam nahas itu dilaporkan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

Ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol dan saringan awal air kencing turut dijalankan terhadap kedua-dua pemandu, dengan kedua-dua ujian berkenaan dilaporkan negatif.

Jenazah ketiga-tiga mangsa selesai menjalani proses bedah siasat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 4 petang tadi sebelum dibawa pulang ke Perak untuk urusan pengebumian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top