SKS Mart Pandan perkukuh nadi komersial kejiranan

SKS Mart Pandan perkukuh nadi komersial kejiranan

Kuala Lumpur: Selepas tiga tahun menjalani proses pembangunan semula, SKS Mart Pandan kembali beroperasi dengan pendekatan baharu yang menumpukan kepada keperluan harian komuniti serta mengukuhkan peranannya sebagai pusat komersial kejiranan di Pandan City.

Terletak dalam pembangunan bercampur Pandan City, pusat beli-belah berkenaan menawarkan kira-kira 83,318 kaki persegi ruang niaga untuk disewa, selain kemudahan tempat letak kereta yang luas dan akses jalan raya yang menghubungkannya dengan kawasan sekitar.

Pembukaan semula SKS Mart Pandan dilihat melengkapkan ekosistem komersial di kawasan berkenaan, khususnya bagi penduduk Pandan dan kejiranan berhampiran yang memerlukan akses lebih dekat kepada barangan runcit, keperluan rumah, makanan, kesihatan serta perkhidmatan gaya hidup.

Lebih 50 penyewa kini membentuk campuran penyewa di pusat beli-belah itu, dengan Hwa Thai Supermart serta MR DIY sebagai antara penyewa utama.

Campuran penyewa itu mencerminkan perubahan peranan pusat beli-belah kejiranan yang bukan lagi sekadar menjadi lokasi mendapatkan barangan runcit, sebaliknya turut berfungsi sebagai ruang untuk makan, mendapatkan perkhidmatan, membeli kelengkapan rumah serta aktiviti bersama keluarga.

Pengurus Kompleks SKS Mart Pandan, Clement Chan berkata, pembangunan semula selama tiga tahun itu membolehkan pusat beli-belah berkenaan kembali dengan kemudahan dan persekitaran yang lebih bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.

“Kami mengalu-alukan kepulangan komuniti ke SKS Mart Pandan dan selepas tiga tahun pembangunan semula, kami gembira dapat membuka semula destinasi kejiranan ini dengan wajah baharu yang menepati keperluan harian masyarakat.

“Kami mahu menawarkan lebih banyak pilihan, kemudahan yang lebih baik dan tempat yang selesa untuk mereka kunjungi selalu,” katanya.

Menurutnya, konsep pusat beli-belah kejiranan yang mudah dikunjungi dan memenuhi keperluan harian menjadi antara fokus utama dalam operasi baharu SKS Mart Pandan.

“Matlamat kami mudah, menjadi tempat yang memenuhi keperluan, mudah dikunjungi dan mesra pengunjung, kami mahu SKS Mart Pandan menjadi tempat singgah untuk membeli satu barang, kemudian menjamu selera, menemui sesuatu yang menarik dan berasa senang untuk datang lagi.

“Itulah peranan pusat beli-belah kejiranan,” katanya.

Sementara itu, pembukaan semula SKS Mart Pandan turut disokong pelbagai aktiviti bagi menarik kunjungan masyarakat, termasuk Fantasia Food Fest yang berlangsung sehingga 4 Oktober ini.

Festival makanan berkenaan menghimpunkan lebih 70 peniaga makanan dan beroperasi dari 11 pagi hingga tengah malam sepanjang tempoh empat hari, sekali gus menambah aktiviti serta tarikan kepada kawasan komersial berkenaan.

Pembukaan semula itu turut memberi ruang kepada penyewa untuk menawarkan promosi kepada pengunjung yang menyediakan tawaran bagi barangan runcit dan keperluan rumah.

Dari perspektif pembangunan hartanah, kehadiran semula SKS Mart Pandan memperlihatkan bagaimana aset komersial kejiranan boleh disesuaikan semula mengikut corak keperluan pengguna, khususnya apabila pembangunan perumahan dan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya terus berkembang.

Dengan gabungan ruang niaga, kemudahan sokongan serta kepelbagaian penyewa, SKS Mart Pandan kini kembali sebagai sebahagian daripada ekosistem Pandan City, menawarkan kemudahan harian dalam jarak yang lebih dekat kepada komuniti setempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top