suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun di Seremban, Negeri Sembilan mendakwa berdepan kejadian buli berulang sejak 2025 hingga menyebabkan dia cedera dan kini takut untuk ke sekolah.
Antara insiden didakwa dihadapi murid itu termasuk dibelasah, ditarik kerusi sehingga terjatuh, selain ditampar dan ditendang rakan sekelas.
Bapanya kemudian membuat laporan polis pada 2 Oktober lalu selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan cara pihak sekolah menangani kejadian berkenaan.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, bapa mangsa mendakwa kejadian pertama berlaku pada 16 Mei tahun lalu.
“Ketika itu, anaknya didakwa dibelasah seorang rakan sekelas dalam bilik darjah yang berkunci dan kejadian berkenaan disaksikan lima murid lain.
“Susulan kejadian itu, mangsa dibawa mendapatkan pemeriksaan doktor pada keesokan harinya.
“Laporan perubatan mendapati terdapat bengkak dan lebam pada bahagian belakang badan serta kaki kanan, manakala kecederaan tisu lembut akibat trauma hentaman turut direkodkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, doktor juga mencadangkan supaya laporan polis dibuat dan memaklumkan tindakan lanjut mungkin diperlukan jika kejadian sama kembali berlaku.
Bagaimanapun, katanya, bapa mangsa mendakwa insiden membabitkan anaknya berlaku lagi pada Julai dan Ogos tahun ini.
“Dalam kejadian berkenaan, anaknya didakwa ditarik kerusi sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan pada belakang badan serta tangan kanan.
“Bapa mangsa mendakwa tindakan disiplin turut dikenakan terhadap anaknya ketika pihak sekolah menangani kejadian pada Ogos lalu,” katanya.
Daniel berkata, kejadian itu menyebabkan bapa mangsa berasa tidak puas hati dan menganggap tindakan berkenaan tidak adil sebelum membuat laporan polis.
“Beliau juga mendakwa pernah mengemukakan aduan secara peribadi kepada pengetua, namun diminta mempertimbangkan untuk memindahkan anaknya ke sekolah lain.
“Pengalaman berulang itu memberi kesan kepada anaknya apabila kini takut untuk ke sekolah dan enggan masuk ke kawasan sekolah,” katanya.
Katanya, bapa mangsa berharap pihak sekolah dan badan berkaitan mengambil serius perkara itu bagi memastikan keselamatan serta persekitaran pembelajaran yang baik untuk anaknya.
Dalam pada itu, Daniel berkata, setiap aduan berkaitan buli perlu diberi perhatian dan tindakan segera supaya mangsa tidak terus terdedah kepada kesan fizikal dan mental.
Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memastikan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bilik darjah dan koridor sekolah bagi membantu pemantauan serta siasatan sekiranya berlaku kejadian.
“Ibu bapa juga perlu mengajar anak menyimpan bukti sekiranya berdepan buli fizikal atau menerima mesej berunsur ancaman menerusi internet dan telefon bimbit.
“Antara bukti yang boleh disimpan termasuk gambar kecederaan dan tangkapan skrin mesej ancaman sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa,” katanya
Katanya, laporan perubatan perlu disimpan oleh ibu bapa sekiranya anak mereka disyaki menjadi mangsa buli atau mengalami kecederaan fizikal.
“Keselamatan anak-anak mesti diutamakan. Kami menggesa semua sekolah supaya segera menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang aduan sedemikian, bukannya menunggu sehingga keadaan bertambah teruk baharu bertindak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




