Tiada kejutan di Hanoi, Harimau Malaya gagal ke final Piala ASEAN 2026

PETALING JAYA: Hasrat peminat untuk menyaksikan kejutan berlaku di Hanoi tidak kesampaian apabila Harimau Malaya tumpas 0-2 dalam aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026, sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tumpas 4-0 secara agregat selepas kecundang 0-2 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, minggu lalu.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam mara ke final dan akan bertemu Thailand yang mara ke final Piala ASEAN buat kali keempat berturut-turut selepas menyingkirkan Singapura 4-3 secara agregat.

Dalam aksi di Stadium MyDinh, perlawanan berlangsung seimbang, namun skuad negara wajar berterima kasih kepada penjaga gol, Azri Ghani yang banyak menyelamatkan pintu gawang daripada dibolosi.

Tiada jaringan direkodkan pada babak pertama, biarpun anak buah Kim Sang Sik melancarkan asakan bertali arus yang memaksa benteng pertahanan negara bekerja keras sepanjang 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya menampilkan permainan tersusun dan berpeluang berada di hadapan pad aminit ke-52, namun percubaan G Pavithran yang diselamatkan Patrik Le Giang.

Gol pembukaan yang diburu tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-62 selepas pemain gantian, Nguyen Xuan Son memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang gol negara untuk Vietnam berkelebihan 3-0 secara agregat.

Xuan Son menambah derita skuad negara apabila meledak gol kedua peribadinya dengan penyudah kemas pada minit ke-89 untuk menghantar Vietnam ke final Piala ASEAN 2026.-UTUSAN

Scroll to Top