firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Latihan intensif bersama bapanya sejak kecil menjadi antara rahsia kejayaan pemain muda Malayan Tigress Bawah 17 Tahun (B-17), Lim You, menjadikan kaki kiri sebagai senjata utama dalam aksinya di atas padang.
Pemain berusia 14 tahun itu mencuri tumpuan apabila meledak tujuh gol ketika membantu skuad negara membelasah Arab Saudi 9-0 pada aksi peringkat kumpulan Piala Srikandi Merdeka 2026 di Super Soccer Arena, Kudus, Indonesia, semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad kendalian Fairuz Montana Zainal Abidin mengesahkan kemaraan ke separuh akhir untuk mengiringi tuan rumah, Garuda Pertiwi.
You yang kini berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) berkata, bapanya sejak awal menyedari kelebihan kaki kirinya dan kerap memberikan latihan khusus bagi mengasah kemahiran berkenaan.
“Sejak kecil, ayah kerap melatih kaki kiri saya kerana tidak ramai pemain yang berkaki kiri dan ia seolah-olah satu keistimewaan. Saya bertuah kerana dilahirkan berkaki kiri.
“Mengenai tujuh gol itu, ia bukan kredit untuk saya seorang kerana rakan sepasukan yang menghantar bola kepada saya dan saya hanya membantu menyempurnakannya,” katanya ketika ditemu bual bersama media hari ini.
Ketajamannya di hadapan gawang itu pastinya menjadikan pemain yang lahir di Taiwan itu antara pemain yang bakal diberi perhatian Thailand apabila Malaysia turun menentang pasukan berkenaan pada aksi separuh akhir, Jumaat ini.
Namun, You mengakui tetap merasakan sedikit tekanan menjelang pertemuan penting itu, sebaliknya mahu menjadikan tekanan berkenaan sebagai motivasi untuk membantu pasukan negara melangkah ke final.
“Sejujurnya ada sedikit tekanan, tetapi bola sepak adalah permainan yang sangat saya nikmati.
“Saya teruja setiap kali melangkah ke padang tanpa mengira siapa lawannya.
“Jadi, saya cuma teruja untuk bermain di tahap berbeza. Kami akan cuba yang terbaik untuk membawa pulang piala untuk Malaysia,” katanya yang memiliki pertalian darah negara ini menerusi ibu dan bapanya yang berasal dari Johor.
Tujuh gol yang dijaringkan You dalam satu perlawanan rasmi itu dianggap pencapaian luar biasa dalam bola sepak wanita.
Berdasarkan rekod yang tersedia, hanya beberapa pemain wanita pernah mencatat jumlah jaringan sama dalam satu perlawanan rasmi, termasuk Deki Lhazom ketika mewakili RTC WFC menentang Phuentsholing WFC pada 2026 serta pemain Louves Minproff, Flora Kameni pada 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd
