am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Dua lelaki termasuk warga Singapura yang terbabit dengan kejadian merusuh menggunakan senjata dan melakukan provokasi terhadap anggota polis trafik di tepi jalan sebelum masuk ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini Ahad lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata kedua-dua suspek berkenaan akan di dakwa di Mahkamah Majistret di sini.
Terdahulu, media melaporkan polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Singapura berusia antara 25 hingga 46 tahun antara jam 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi Ahad lalu susulan kejadian berkenaan.
Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham di jalan raya membabitkan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing dengan menggunakan senjata.
Ketika proses menenangkan seorang suspek yang juga warga asing oleh dua anggota polis trafik BSI, lelaki itu membuat provokasi terhadap anggota.
Polis turut merampas topi keledar dan pisau, dengan semakan rekod mendapati dua daripada empat suspek mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Video kejadian yang memaparkan pergaduhan seorang lelaki menghalang tugas penjawat awam itu turut tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd
