redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: “Sejak kecil sampai sekarang, saya tak pernah malu malah bangga bercerita dengan orang mengenai pekerjaan abah kerana ia kerja yang mulia,” kata Mohamad Zulfithri Mohd Johari ketika berkongsi kisahnya dibesarkan bapa yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.
Mohamad Zulfithri, 25, mendapat perhatian selepas berkongsi gambar ketika majlis konvokesyen bersama ibu, Hasmawati Abdul Hamid, 50, dan bapanya, Mohd Johari Shafie, 51 menerusi satu hantaran di TikTok.
Dalam hantaran sama, Mohamad Zulfithri yang kini bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah kementerian menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kepada bapanya dan perasaan bangga menjadi anak seorang pekerja pembersihan.
Berkongsi kisah itu, Mohamad Zulfithri yang menetap di Sungai Ramal, di sini berkata, hantaran berkenaan dimuat naik bagi meluahkan apa yang terbuku di hatinya dan tanda terima kasih atas pengorbanan bapanya sepanjang membesarkannya sejak kecil hingga dewasa.
Ia kerana dia sedar dirinya tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa pengorbanan bapanya yang membesarkannya dengan hasil titik peluh sebagai kakitangan pembersihan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak.
“Sudah 25 tahun abah bekerja di R&R itu malah dia masih mencari rezeki di situ sehingga kini.
“Abah buat kerja sambilan juga iaitu dengan ambil upah tukar tayar motosikal untuk cari duit lebih.
“Dulu, abah rajin kumpul tin dan pernah juga minta gaji pendahuluan daripada syarikat untuk menyara kami sekeluarga. Itu antara pengorbanan abah dan kenangan tak dapat dilupakan pula adalah waktu abah bawa pergi ke tempat kerjanya serta melihatnya membersihkan kawasan R&R,” katanya kepada Harian Metro.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu lulusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, bapanya seorang yang pendiam namun tegas dalam mendidik anak.
Katanya, pesanan bapanya menjadi pegangannya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh hingga menjejakkan kaki ke menara gading.
“Abah pernah pesan, belajar rajin-rajin kerana abah dan emak dulu tak mampu.
“Kata-kata itu yang memberi dorongan buat saya… lagipun, saya anak sulung dan menjadi harapan dalam keluarga.
“Waktu di sekolah, saya tak dapat banggakan emak dan abah tapi bersyukur kerana terpilih menjadi Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika di kampus hingga berpeluang ke Turkiye juga Korea Selatan.
“Pada hari konvokesyen pada 25 November tahun lalu pula, saya dapat naik ke pentas untuk menerima anugerah kepimpinan jadi gembira kerana buat emak dan abah tersenyum waktu itu,” katanya.
Mohamad Zulfithri berkata, dia bersyukur kerana Allah SWT masih izinkan dia merasai kasih sayang seorang bapa serta berharap dapat berkongsi rezeki serta membahagikan kedua orang tuanya.
“Sampai sekarang, abah hanya ada motosikal… tapi selepas bekerja, saya dapat beli kereta dan bersyukur kerana boleh membawa emak dan abah berjalan dengan menaiki kenderaan itu.
“Kalau boleh, saya nak beri keselesaan buat keluarga dan bawa emak dengan abah ke Tanah Suci jika ada rezeki lebih satu hari nanti.
“Sekarang ini, saya bersyukur dengan apa yang ada kerana walaupun bukan hidup mewah tapi rezeki cukup buat kami sekeluarga.
“Buat orang di luar sana, jangan pernah malu dengan pekerjaan ibu dan ayah kerana setiap kerja itu mulia selagi mana ia bermanfaat serta datangnya daripada sumber halal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
