aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Badang negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali mengakui tidak meletakkan sasaran khusus pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas muncul juara kategori 94 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Katanya, persiapan ke Sukan Asia tidak berada pada tahap optimum apabila dia dan rakan sepasukan hanya mendapat rehat dua hari selepas Komanwel sebelum kembali menjalani latihan.
“Sasaran saya di Sukan Asia ini cuma mahu buat yang terbaik. Persiapan pun tidak begitu sempurna dan kami masih belum cukup rehat tetapi tetap akan cuba yang terbaik,” katanya.
Menurut Syahmi yang ditemui ketika sesi lawatan Ketua Kontinjen negara (CDM), Datuk Sumali Reduan di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini berkata, saingan di Sukan Asia jauh lebih sengit berbanding Komanwel dengan China, Iran dan Thailand dijangka menjadi pencabar utama dalam kategori berkenaan.
Penampilan di Aichi-Nagoya menjadi medan penting buat Syahmi menimba pengalaman selepas baru setahun bersama skuad negara, terutama dalam menghadapi tekanan pertandingan di pentas besar.
“Saya kena banyak keluar bertanding untuk dapatkan pengalaman dan kurangkan rasa gementar.
“Aura temasya di luar negara sangat berbeza dan saya kena biasakan diri,” katanya.
Selepas Sukan Asia, Syahmi menyasarkan Kejohanan Dunia hujung tahun ini untuk mencipta ‘keajaiban’ selain membuka peluang memburu kelayakan Olimpik berdasarkan kedudukan ranking.
“Kalau ikut ranking sekarang, peluang itu ada. Untuk layak ke Olimpik perlu berada dalam kelompok 10 terbaik dan saya mungkin dalam kelompok belasan. Jadi saya kena naik lagi beberapa tangga.
“Kalau Allah izinkan ada keajaiban, saya akan cuba buat,” katanya.
Pada temasya Sukan Asia kali ini, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) hanya mempertaruhkan dua atlet iaitu Syahmi dan Muhammad Erry Hidayat selepas kejayaan cemerlang di Sukan Komanwel Glasgow dengan merangkul lima emas keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




