Kembara musafir permotoran jelajah Afrika Selatan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

MENYAJIKAN variasi berbeza dalam dunia penyiaran tempatan, stesen televisyen berteraskan dakwah, TV AlHijrah menjalin kerjasama strategik bersama syarikat produksi Turquoise Ventures dan Rasniaga Sdn Bhd menerusi program kembara permotoran baharu, Beyond The Road: South Africa.

Program berbentuk travelog dan doku-majalah ini bakal membawa penonton menyaksikan sisi berbeza Afrika Selatan yang jarang diterokai, khususnya penempatan sejarah serta komuniti Islam di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasniaga Motorsports, Zuhairi Abdullah berkata, pemilihan Afrika Selatan sebagai lokasi kembara didorong oleh keunikan geografi, bentuk muka bumi serta sejarah keIslamannya yang amat menyentuh hati.

“Afrika Selatan mempunyai geografi yang luar biasa di hemisfera selatan dengan ‘golden hours’ yang panjang untuk penggambaran. Selain itu, kami mahu menerokai sejarah Melayu Cape yang bermula daripada penghijrahan orang Melayu sejak 300 tahun lalu.

“Walaupun menempuh cabaran Dasar Apartheid, agama Islam berkembang pesat di sana. Malah, fenomena alam pertemuan dua laut di Cape Agulhas yang dinyatakan dalam al-Quran serta laluan ‘off-road’ terbaik dunia menjadikan kembara ini sangat istimewa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Turquoise Ventures, Zaida Zainal menjelaskan program pilot bertemakan Buy & Ride ini bakal menampilkan gaya penceritaan segar tanpa pengacara khusus.

“Peserta yang terdiri daripada individu pelbagai latar belakang industri seperti CEO dan Pengurus Besar akan bertindak sebagai pencerita. Penonton bakal menyaksikan kembara sejauh 4,000 kilometer ini menerusi kaca mata penunggang itu sendiri.

“Selain keindahan alam, elemen keislaman seperti cabaran mencari makanan halal di kawasan pedalaman dan kehidupan komuniti Muslim tempatan akan terus menjadi keutamaan program ini,” katanya.

Menyentuh soal keselamatan dan logistik, kembara ini mengehadkan pembabitan sekitar 10 buah motosikal bersama pembonceng bagi memastikan pergerakan teratur.

Pasukan tempatan yang berpengalaman selama 17 tahun turut disediakan bersama kenderaan pacuan empat roda sebagai sokongan keselamatan dan kemudahan asas ibadah sepanjang perjalanan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, pengisian program permotoran ini sangat bertepatan dengan jiwa serta identiti stesen berkenaan yang menekankan nilai dakwah dan pengajaran hidup.

“Peserta yang terbabit terdiri daripada peminat motosikal yang matang. Aktiviti permotoran ini hanyalah wadah untuk merenung kebesaran ciptaan Allah di muka bumi.

“Sebagai permulaan, kami akan memanfaatkan platform media sosial menerusi siaran langsung secara ‘real-time’ semasa kembara berlangsung. Selepas proses penyuntingan selesai, program ini dijangka bersiaran di TV AlHijrah dalam tempoh tiga bulan selepas penggambaran,” katanya.

Sesi kembara Beyond The Road: South Africa dijangka bermula pada Disember ini dengan permulaan tunggangan di Johannesburg, sekali gus menjanjikan sebuah naskhah permotoran yang sarat ilmu dan inspirasi buat penonton tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top