Carolan tetap puji Speedy Tigers

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pujian harus diberikan kepada Speedy Tigers biarpun impian mencipta kejutan ke atas pasukan nombor satu dunia, Belgium tidak kesampaian pada aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia Hoki 2026, hari ini, sekali gus gagal mara ke suku akhir.

Skuad senior lelaki kebangsaan terpaksa akur tewas 3-5 kepada Belgium dalam perlawanan sengit di Arena Hoki Belfius, awal pagi tadi, untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan terakhir tanpa kemenangan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia yang kini berada di ranking ke-13 dunia, mengumpul satu mata hasil keputusan seri 3-3 menentang Perancis selepas terlebih dahulu tewas 1-5 kepada Jerman.

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Brendon Carolan tetap berbangga dengan persembahan cukup positif ditampilkan dalam misi melonjakkan ranking dunia Speedy Tigers di pusingan klasifikasi Kumpulan H nanti yang akan menentukan kedudukan 9 hingga 16.

“Ia satu persembahan yang baik hari ini. Sudah tentu kami mahukan keputusan memihak kami kerana kami sentiasa mahukan kemenangan.

“Kami perlu kenal pasti siapa lawan dalam pusingan ‘crossover’ (klasifikasi Kumpulan H) dan kami perlu bersedia sepenuhnya. Seperti anda tahu, kami mahu meningkatkan kedudukan ranking dunia kami,” katanya.

Dalam masa sama, Carolan turut memuji kerja keras barisan pemainnya yang kini dalan fasa transisi untuk menyesuaikan diri dengan sistem pertahanan baharu.

“Barisan pemain sudah bekerja keras untuk sistem pertahanan yang baru, jadi sekarang ia hanyalah soal memperkemas perincian-perincian kecil yang menjadi perbezaan di tahap ini,” katanya.

Pada aksi awal pagi tadi, Malaysia bermula dengan baik sebelum Belgium memecah kebuntuan menerusi dua jaringan Tom Boon pada minit ke-16 dan 19 untuk mendahului 2-0.

Speedy Tigers kemudian bangkit pada suku ketiga apabila Nik Aiman Nik Rozemi menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-31 sebelum Marhan Jalil menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37.

Bagaimanapun, Boon melengkapkan hatriknya pada minit ke-35 sebelum Thibeau Stockbroekx menambah gol keempat Belgium pada minit ke-43.

Akhimullah Anuar Esook kembali mencetuskan harapan Malaysia apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-52 untuk merapatkan jurang kepada 3-4.

Namun, Boon kemudian melengkapkan aksi gemilangnya dengan gol keempat pada minit ke-53 bagi memastikan Belgium mengesahkan kemenangan 5-3.

Malaysia berpeluang untuk merapatkan jurang sekali lagi selepas diberikan penalti stroke, namun percubaan Azrai Aizad Abu Kamal tersasar keluar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top