am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tindakan kerajaan negeri Sabah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY) menunjukkan keterbukaan kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan kewangan dan dana awam dilaksanakan secara telus.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara berkenaan wajar diserahkan kepada proses mahkamah untuk ditentukan berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan.
“Saya fikir lebih elok jika kita menyerahkan perkara ini kepada proses mahkamah untuk menentukannya. Kerajaan negeri Sabah sudah memfailkan saman itu, jadi kita tunggu proses mahkamah selanjutnya.
“Namun, apa yang pasti, tindakan ini secara simboliknya menunjukkan keterbukaan Sabah, iaitu tiada apa yang ingin disembunyikan.
“Jika ada pihak yang bersalah, kita saman. Bagi pihak SDB pula, kita sudah menyaman semua penghutang tanpa mengira sesiapa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 bertempat di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Masidi turut berkata, pihaknya serius memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dilaksanakan dengan baik, selain menitikberatkan aspek ketelusan dan tadbir urus.
“Kita betul-betul serius untuk memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dibuat bukan sahaja dengan baik, malah secara telus.
“Kita berharap langkah ini secara tidak langsung dapat mewujudkan budaya tata kelola (governance) yang lebih baik dalam mengurus khazanah serta kewangan negeri Sabah,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri Sabah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap EY di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur berhubung dakwaan kegagalan firma audit berkenaan melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.
Saman itu difailkan oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala EY dinamakan sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) ketika menjalankan audit berkanun terhadap penyata kewangan SDB.
Plaintif turut mendakwa kegagalan berkenaan menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikesan lebih awal.
Tuntutan tersebut kini tertakluk kepada proses mahkamah bagi menentukan dakwaan dan liabiliti pihak-pihak yang terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
