Setiausaha politik MB Perak sah letak jawatan

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan Setiausaha Politik (Supol) beliau, Mohamad Hamidi Baharuddin telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 17 Ogos lalu atas faktor kesihatan.

Menurut Saarani, beliau menerima surat peletakan jawatan daripada Hamidi bertarikh 10 Ogos yang memaklumkan keputusan berkenaan serta keperluannya mendapatkan rawatan.

“Supol ada menulis surat kepada saya bertarikh 10 Ogos dan menyatakan dia mahu meletakkan jawatan yang berkuat kuasa 17 Ogos. Jadi kita pun telah menerima perletakan jawatannya.

“Dia beri alasan kesihatan, dia memerlukan masa untuk mendapat rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Invest In Perak Day di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Mengulas dakwaan yang tular di media sosial dan mengaitkan peletakan jawatan Mohamad Hamidi dengan penyalahgunaan dadah, Saarani menjelaskan tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perkara itu tanpa bukti daripada pihak berkuasa.

“Yang itu saya pun baca dalam media sosial. Selagi mana tak ada bukti oleh pihak berkuasa, sama ada Jabatan Kesihatan atau polis, saya tak mahu membuat apa-apa andaian,” katanya.

Mengenai pengganti Mohamad Hamidi, Saarani berkata, perkara itu memerlukan sedikit masa sebelum pelantikan baharu dibuat.

Mohamad Hamidi, 46, dilantik sebagai Supol Menteri Besar Perak pada 2023, menggantikan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat yang tidak lagi menyambung tugas berkenaan selepas memegang jawatan itu sejak 2020.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lenggong itu sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Perak.

Ketika Saarani menjadi Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hamidi pula dilantik sebagai pegawai khas.

 

Scroll to Top