am@hmetro.com.my
Besut: Harga ikan yang berubah mengikut pasaran setiap hari dijadikan alasan segelintir pengusaha kedai makan di Pantai Pasir Panjang (Long Beach), Pulau Perhentian, untuk tidak mempamerkan tanda harga kepada pelanggan.
Bagaimanapun, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat menegaskan, alasan itu tidak boleh diterima kerana kegagalan mempamerkan tanda harga tetap satu kesalahan di sisi undang-undang.
Beliau berkata, kebanyakan kesalahan yang dikesan dalam Operasi Bersepadu di pulau peranginan itu membabitkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga, terutama bagi makanan laut yang dijual mengikut harga semasa.
“Biar apa juga alasan yang diberikan, kesalahan tetap kesalahan. Walaupun harga berubah mengikut pasaran, peniaga tetap wajib mempamerkan tanda harga kepada pengguna.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Majlis Daerah Besut (MDB) dan Metrologi Malaysia di Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian, malam tadi.
Turut hadir Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang.
Mohd Mufsi berkata, operasi selama dua hari bermula semalam itu membabitkan 36 pegawai dan anggota daripada agensi berkaitan.
Katanya, KPDN mengesan lima kes pelanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta Akta Timbang dan Sukat, dengan kompaun keseluruhan RM1,800 dikeluarkan.
“MDB pula mengeluarkan kompaun RM2,750 membabitkan lima kesalahan berkaitan lesen perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap bekalan barangan kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung mendapati tiada sebarang penyelewengan berlaku.
“Semua premis didapati menyimpan stok dalam kuantiti yang dibenarkan dan tiada penyalahgunaan bekalan barangan kawalan dikesan,” katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua aktiviti perdagangan di kawasan pelancongan dijalankan secara telus, beretika dan mematuhi undang-undang.
“Pulau Perhentian menerima kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Justeru, pematuhan terhadap peraturan perdagangan penting bagi melindungi hak pengguna serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil.
“Kita akan meneruskan operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan peniaga,” katanya.
Sementara itu, Hamiludin berkata, pihaknya turut memeriksa bot kargo yang membawa muatan pelbagai barangan untuk dihantar ke resort dan kedai makan sekitar pulau berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan pengusaha bot memiliki lesen sah selain memastikan tidak ada barangan yang dilarang dibawa masuk ke pulau berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesalahan ditemui,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

