harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: “Maafkan kami kerana mengecewakan ayah dan ibu, doakan kami, kami mahu pulang sebagai anak yang berbakti.”
Itu luahan wakil peserta Program Hijrah Kasih ke-17 iaitu sebuah inisiatif Jabatan Penjara Malaysia (Penjara) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membentuk semula sahsiah, rohani dan akidah prospek atau banduan muda.
Mewakili semua peserta program berkenaan, wanita berusia 21 tahun mengucapkan penghargaan kepada barisan tenaga pengajar dan semua pihak yang terbabit kerana tidak meminggirkan mereka malah memberi peluang kedua walaupun pernah tersilap langkah dalam kehidupan.
”Bagi pihak peserta, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang mencurahkan masa, tenaga, ilmu dan kasih sayang kepada kami.
”Hijrah Kasih bukan sekadar program, tetapi memberi impak keinsafan dan kenangan yang sangat besar kepada kami, di sini kami belajar bahawa manusia boleh tersilap, tetapi kesilapan tidak semestinya menjadi noktah kepada kehidupan.
”Kami belajar bahawa walaupun pernah jatuh, masih ada ruang untuk bangun,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Hijrah Kasih ke-17 KPM di Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Komisioner Penjara, Rosoman Abu Bakar@Che Din, pegawai-pegawai kanan Penjara serta ibu bapa prospek terbabit.
Rosoman dalam ucapannya berkata program itu yang diperkenalkan pada 2011 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas kini sudah menjadi antara modul teras berimpak tinggi dalam memperkasakan sahsiah dan kerohanian prospek, khususnya di Sekolah Integriti dan institusi penjara wanita.
”Berdasarkan penilaian dan maklum balas, modul yang disusun secara holistik ini terbukti berjaya membina semula keyakinan diri, menyemaikan rasa keinsafan, serta membimbing prospek ke arah perubahan watak yang positif.
”Keberkesanan ini adalah bukti jelas bahawa dengan bimbingan yang betul, proses pencerahan jiwa atau hijrah itu bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina menegaskan pendidikan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya walaupun di sebalik tembok penjara tetap diberikan peluang kedua menerusi pendidikan.
”Anak-anak sekarang tidak perlu fikir sekolah dekat mana. Di mana anak, di situ ada sekolah. Sebab itu di penjara pun kita hadirkan (sekolah) dan memang kita ada program khas Sekolah Dalam Penjara.
”Saya nak beritahu pada ibu bapa betapa saya bangga dengan anak-anak ini kerana keputusan SPM mereka 100 peratus lulus bagi tahun 2023.
”Ini bukan soal tempat di mana, ini bukan soal sekolah di mana, tetapi ini soal keazaman mereka, soal hijrah ini yang diterjemahkan dan kita mendapat sokongan yang sangat baik. Apabila kita menyatakan hasrat kita untuk memastikan anak-anak di dalam penjara pun mesti bersekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
