SHAH ALAM – Pas umpama sebuah ‘kafilah yang akan meneruskan perjalanan’ tanpa menghiraukan sebarang kebisingan serta kecaman yang dilemparkan oleh pihak lawan, khususnya pemimpin DAP, menurut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan beberapa pemimpin Melayu DAP yang tampil mempertahankan parti berkenaan susulan artikel terbaharu karangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang didakwa menyinggung DAP.
Menurut Syahir, meskipun Pas dan DAP merupakan seteru politik yang sentiasa mengkritik ideologi serta kredibiliti satu sama lain, penilaian akhir tetap berada di tangan rakyat.
Mengulas lanjut, Syahir mendakwa DAP kini sedang berdepan trend penolakan secara organik oleh rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan Bumiputera.
Beliau turut mendakwa trend berkenaan jelas kelihatan melalui keputusan pilihan raya di beberapa negeri termasuk Sabah, Johor, dan Negeri Sembilan, selain meramalkan nasib sama bakal menanti parti itu di Melaka dan Sarawak.
“Di Pantai Timur dan utara tanah air, bayang DAP pun hampir tidak kelihatan. DAP kini hanya mampu diselamatkan melalui kertas undi para perwakilan, sedangkan keputusan peti undi rakyat menunjukkan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Syahir turut membidas kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu DAP yang menggesa Presiden Pas berundur daripada ruang awam.
Beliau menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai amat ‘lekeh’, menjengkelkan, serta berunsur ancaman terhadap keselamatan kepimpinan Pas.
Mengenai tindakan polis terhadap Presiden Pas berhubung artikel Minda Presiden Pas, Syahir mengesahkan Abdul Hadi telah memberikan keterangan kepada pihak Bukit Aman dan sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama penuh, termasuk berdepan proses mahkamah sekiranya terdapat sebarang pertuduhan.
Beliau menegaskan, Pas tidak terjejas dengan sebarang tekanan mahupun kecaman yang dilemparkan dan akan terus fokus pada perjuangan parti.

