Anwar, Shehbaz sepakat ketegangan serantau ditangani menerusi dialog, diplomasi

Kuala Lumpur: Sebarang ketegangan perlu ditangani secara cermat menerusi dialog dan diplomasi, bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pendirian itu turut dipersetujui Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, ketika mereka bertukar-tukar pandangan terkait perkembangan semasa di rantau ini, serta perkembangan hubungan Iran-Amerika Syarikat.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata perkara itu dibincangkan ketika perbualan telefon dengan Shehbaz, yang turut bertanyakan perkembangan kesihatan beliau.

“Kami juga membincangkan perkembangan hubungan Iran-Amerika Syarikat dan menegaskan pentingnya libat urus berterusan bagi meredakan ketegangan.

“Selat Hormuz pula mesti kekal terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa,” kata beliau.

Anwar berkata perbualan berkenaan turut memperkukuh komitmen Malaysia dan Pakistan, untuk memperhebat hubungan perdagangan dan ekonomi yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan termasuk memperluas eksport daging Pakistan ke Malaysia.

Beliau berkata setiap komitmen yang dicapai perlu segera diterjemahkan kepada hasil nyata, yang memberi manfaat kepada rakyat serta kedua-dua negara.

“Malaysia akan terus mendukung Pakistan sebagai negara sahabat dan rakan penting, insya-Allah,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Shehbaz, atas doa serta kiriman bunga dan buah-buahan susulan keadaan kesihatannya, selain memaklumkan bahawa beliau kini dalam proses pemulihan.

Sebelum ini, Perdana Menteri selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top