Empat lelaki bersenjatakan parang samun kedai emas, barang kemas RM500,000 dilarikan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Empat lelaki bersenjatakan parang dan membawa objek dipercayai ‘pump gun’ dipercayai menyamun sebuah kedai emas di Taman Pandan Perdana, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata kejadian berlaku jam 2 petang dan penjenayah terbabit melarikan pelbagai barang kemas bernilai kira-kira RM500,000.

Menurutnya, ketika kejadian semua empat lelaki terbabit memakai topeng muka.

“Mereka turut membawa sebilah parang dan objek disyaki ‘pump gun’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, sejurus melakukan samun empat lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki dua motosikal.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan usaha mengesan penjenayah terbabit sedang dilancarkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dengan senjata,” katanya.

Terdahulu, tular video kejadian yang menunjukkan kelibat empat penjenayah terbabit, yang memakai jaket berwarna gelap dan bertopi keledar.

Turut kelihatan seorang lelaki memegang parang di hadapan kedai emas terbabit serta video empat penjenayah terbabit melarikan diri dengan menunggang motosikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top