Jangan hampiri, provokasi gajah liar – Perhilitan

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Penduduk Kampung Pengkalan Jeram, Manir, di sini, dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau melakukan provokasi ke atas seekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan kampung itu sejak semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten berkata, penduduk juga diminta supaya tidak mengikuti trek gajah atau membaling objek ke arah haiwan berkenaan.

Katanya, orang ramai perlu memberi laluan sekiranya gajah berkenaan melintas selain memberikan ruang kepada pihaknya menjalankan kerja kawalan dan tangkap dan pindah.

“Jangan ikuti trek gajah, jangan hampiri gajah dan jangan baling objek agar tidak memprovokasinya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Beri laluan kepada gajah melintas serta ruang supaya jabatan boleh menjalankan kerja kawalan dan tangkap pindah dengan lebih teratur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai seekor gajah liar berkeliaran di Kampung Pengkalan Gelugor dan hari ini berkeliaran di kawasan Kampung Jeram, sejak semalam.

Menurutnya, siasatan oleh kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Terengganu mendapati aduan itu berasas apabila gajah berkenaan didapati memusnahkan tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan tebu.

“Gajah itu juga berkeliaran di sekitar kampung dan mendatangkan isu keselamatan kepada penduduk,” katanya.

Dennis berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan serta membantu melakukan kawalan lalu lintas bagi penduduk yang ingin menyeberangi kawasan berkenaan.

Katanya, kakitangan Perhilitan turut menjalankan kawalan dan pemantauan di kawasan sekitar lokasi aduan.

“Bila keadaan sesuai, jabatan akan tangkap dan pindah gajah itu ke lokasi selamat,” katanya.

Katanya, Hutan Simpan Belara, Kuala Nerus adalah hutan simpan terdekat dengan lokasi kejadian namun tiada rekod kehadiran gajah sebelum ini di kawasan berkenaan.

Semalam, kehadiran gajah liar berkenaan di sekitar Kampung Jeram, Manir turut menarik perhatian penduduk apabila orang ramai berpusu-pusu ke lokasi untuk melihat haiwan itu sehingga suasana di kampung berkenaan menjadi seperti ‘pesta’ dan berlarutan hingga tengah malam

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top