Washington: Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump berseloroh mengenai spekulasi media berhubung ketidakhadirannya selama sebulan daripada perhatian umum ketika kembali tampil di khalayak ramai pada 20 Ogos lalu.
“Selamat petang, saya dengar anda merindui saya, saya ada di sini,” katanya sambil ketawa kecil ketika membuka satu acara di Taman Mawar Rumah Putih.
Melania, 56, dan suaminya, Presiden AS, Donald Trump, 80, berpegangan tangan ketika berjalan dari Pejabat Oval ke podium, manakala presiden duduk di khalayak ketika Melania berucap.
Acara itu diadakan bagi menandakan sumbangan IndyCar dan Fox Corporation untuk membiayai biasiswa universiti, menjelang perlumbaan IndyCar di jalan raya Washington bagi menandakan ulang tahun kemerdekaan AS ke-250.
Melania kali terakhir dilihat di khalayak ramai ketika perlawanan akhir Piala Dunia FIFA pada 19 Julai lalu dan tidak menghadiri beberapa acara besar lain termasuk Majlis Makan Malam Wartawan Rumah Putih yang dijadualkan semula pada 24 Julai lalu.
Bekas model kelahiran Slovenia itu sebelum ini menghadiri versi pertama majlis berkenaan pada April lalu yang terganggu akibat insiden seorang lelaki bersenjata.
Analisis penyiar AS, NBC pada 17 Ogos lalu mendapati, Melania mempunyai profil awam jauh lebih rendah dalam penggal keduanya sebagai wanita pertama dengan menghadiri kira-kira separuh jumlah acara awam berbanding tempoh sama dalam penggal pertamanya.
Difahamkan, kembalinya Melania kepada perhatian umum turut berlaku di tengah spekulasi mengenai pembantu eksekutif Trump yang sangat setia, Natalie Harp, 35.
Rumah Putih bertindak balas dengan marah selepas seorang calon Demokrat untuk Senat mempersoalkan mengapa Harp antara segelintir individu yang secara rahsia bertukar dari pesawat Air Force One bersama Trump di Turkiye selepas ancaman keselamatan.
Harp hampir sentiasa berada di sisi Trump dalam penggal keduanya, termasuk kadangkala menaip hantaran media sosial untuknya dan mencetak maklumat sehingga menyebabkan dia digelar ‘pencetak manusia’.
Harp bagaimanapun tidak kelihatan hadir pada acara di Taman Mawar Rumah Putih itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
