Kuota pemain tempatan bertambah, kelab Liga M sambut baik

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menambah kuota pendaftaran pemain tempatan bagi Liga Malaysia musim 2026/2027 disambut positif beberapa kelab, terutama dalam membantu pengurusan skuad menghadapi jadual pertandingan yang padat.

MFL sebelum ini mengumumkan Ahli Lembaga Pengarahnya memutuskan untuk menambah lima kuota pemain tempatan kepada semua kelab Liga Malaysia musim depan, sekali gus meningkatkan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan daripada 33 kepada 38 pemain.

Perubahan itu menyaksikan setiap kelab boleh mendaftarkan sehingga 15 pemain asing dan 23 pemain tempatan.

Keputusan berkenaan dibuat susulan permohonan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal berdepan jadual padat apabila bersaing dalam Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara 2 (ACL2), Kejuaraan Kelab ASEAN atau ACC serta pertandingan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan berkata, tambahan lima pemain tempatan itu memberi manfaat kepada pasukannya yang bakal mengharungi lebih banyak perlawanan musim depan.

“Tambahan pemain daripada 33 kepada 38 orang, iaitu lima pemain tempatan, adalah satu keputusan positif kerana bagi pasukan kami sendiri ia membantu disebabkan musim ini kita mempunyai banyak perlawanan yang perlu dihadapi, lebih-lebih lagi ACL2 dan ACC.

“Sebab apabila banyak sangat perlawanan kita akan hadapi, faktor kecederaan turut akan jadi kebimbangan dan sebab itu dengan tambahan pemain seperti ini dapat membantu kita, tapi kena tengok juga kemampuan kewangan.

“Kuching City FC pula tidak mempunyai pasukan simpanan dan selama ini turut bergantung kepada pasukan Piala Presiden serta skuad belia sebagai sumber tambahan pemain,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, penambahan kuota berkenaan tidak semestinya mengubah strategi pengambilan pemain secara besar-besaran, sebaliknya memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada kelab.

Katanya, pengambilan pemain tetap perlu berdasarkan keperluan pasukan, kemampuan kewangan serta perancangan jangka panjang kelab.

Malah, penambahan kuota itu juga dilihat mampu membuka ruang kepada lebih ramai pemain tempatan, termasuk pemain muda yang sedang melalui proses transisi ke peringkat senior.

“Penambahan kuota ini memberikan lebih fleksibiliti kepada kelab dalam menguruskan skuad, khususnya sekiranya terdapat pemain tempatan yang sesuai dengan keperluan pasukan.

“Kami melihat keputusan ini sebagai satu pilihan tambahan kepada kelab dan bukannya keperluan untuk memenuhi keseluruhan kuota yang diberikan.

“Tapi jumlah pendaftaran pemain tidak semestinya menjamin minit permainan yang lebih banyak kerana peluang beraksi tetap bergantung kepada prestasi, tahap kesediaan dan persaingan dalam pasukan,” katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Syahrizan Mohd Zain turut melihat penambahan kuota itu sebagai perkembangan positif, terutama ketika jendela perpindahan kedua sekiranya berlaku kecederaan atau keperluan untuk melakukan perubahan terhadap skuad.

“Memang ada bagusnya kerana ia dapat membantu perkembangan pemain tempatan dan memberikan lebih banyak peluang kepada mereka untuk berada dalam setiap pasukan.

“Kalau berlaku kecederaan, pada jendela perpindahan kedua nanti akan ada lebih banyak pilihan untuk setiap pasukan membuat pertukaran atau pemilihan pemain.

“Secara keseluruhannya, apabila kuota ditambah, saya rasa peluang untuk lebih ramai pemain tempatan kita mendapat tempat dalam pasukan juga akan menjadi lebih besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top