suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) musnah terbakar selepas melanggar bahagian belakang sebuah kereta sedan di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) menghala ke Mid Valley, di sini, tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 12.37 tengah hari.
Katanya, kemalangan membabitkan kereta SUV jenis Renault Captur dan kenderaan sedan jenis Honda City.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan kenderaan SUV sudah memusnahkan kenderaan itu 100 peratus.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan kenderaan SUV terbabit yang telah melanggar bahagian belakang kenderaan Honda City sebelum terbakar.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.21 tengah hari,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan sama, katanya, tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Operasi seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Muhammad Amirudin Mohd Hassan dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




