am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Nelissa Nizam bersyukur pembedahan membuang sista (cyst) pada ovarinya di sebuah hospital swasta di ibu negara berjalan lancar pada hujung bulan lalu.
Nelissa atau nama sebenarnya, Nelissa Edreena Nizam, 28, berkata dia yang kini beransur pulih tidak mengetahui bagaimana boleh mendapat sista berkenaan sama ada perubahan hormon dan sibuk bekerja.
“Pada mulanya, saya buat pemeriksaan dan doktor beritahu sista itu besar juga dan perlu dibuang.
“Alhamdulillah, jahitan dari pembedahan sudah okay dan hanya ada kesan parut sahaja serta dinasihatkan doktor untuk berehat selama tiga minggu di rumah,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata pelakon filem Impak Maksima 2 itu, dia juga terpaksa menolak tawaran untuk projek filem kerana membabitkan babak aksi, baru-baru ini.
“Saya dapat tawaran berlakon filem baharu tapi tidak boleh buat sebab ada babak aksi. Saya juga tidak boleh ‘workout’ (senaman) dan buat kerja berat buat masa ini.
“Bagaimanapun, saya akan terbabit dalam projek mega drama Astro pada September nanti yang belum diberitahu judulnya. Saya terima tawaran kerana tiada babak aksi dan memang menyukai watak antagonis.
“Penulis skrip itu tahu saya memang suka watak jahat kerana watak baik hanya asyik menangis sahaja,” kata pelakon drama bersiri Bila Cinta Menjadi Dosa yang bersiaran di Slot Lestary TV3 itu.
Terdahulu, Nelissa dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur kerana menjalani pembedahan membuang sista di bahagian ovari.
© New Straits Times Press (M) Bhd
