Tuah iringi emas ketiga Elvis

sukan@hmetro.com.my

Shah Alam: Penerjun Sarawak, Elvis Priestly Clement mengakui memerlukan sedikit tuah untuk meraih pingat emas ketiganya pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, hari ini.

Elvis mencatat mata 76.80, 69.00, 70.20, 56.10, 44.20 dan 81.20 bagi mengumpul keseluruhan 397.30 mata untuk meraih kemenangan tipis dalam acara individu platform lelaki di Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Rakan sepasukannya, Jared Aiden Harold, menduduki tempat kedua dengan 396.20 mata, manakala Muhammad Anilrian Normatrud Abdullah dari Sabah melengkapkan podium selepas mencatat 340.65 mata.

Elvis, 20, mengakui dirinya tidak berada pada tahap terbaik hari ini.

“Ini hari keempat berturut-turut saya bertanding, jadi saya berasa agak letih. Cuaca hari ini juga panas dan saya turut berasa sedikit pening.

“Saya rasa saya bernasib baik kerana dapat memintas (Jared) pada saat akhir. Namun begitu, tahniah kepada Jared kerana dia adalah antara penerjun terbaik.

“Saya melakukan banyak kesilapan hari ini dan perkara itu akan saya usahakan untuk diperbaiki pada masa depan.

“Terjun bukan hanya mengenai kemahiran, anda juga memerlukan sedikit tuah. Saya rasa sudah menjadi takdir saya untuk menang hari ini,” kata Elvis.

Terdahulu, Elvis meraih emas acara 3 meter papan anjal seirama lelaki bersama Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin, selain turut memenangi emas acara platform seirama lelaki bersama Jared awal minggu ini.

Esok, dia akan kembali beraksi dalam acara platform seirama campuran bersama Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top